MUHAMMAD Amiruddin dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu.
MUHAMMAD Amiruddin dihadapkan ke Mahkamah Majistret, Kuala Terengganu.

Kuala Terengganu: Seorang remaja lelaki mengaku salah di Mahkamah Majistret, di sini, semalam atas tuduhan mencuri sebuah telefon bimbit jenis Lenovo bernilai RM450 milik seorang jemaah yang sedang beriktikaf di Masjid Wakaf Tembesu.

Tertuduh, Muhammad Amiruddin Abdul Kamal, 19, dari Kampung Tok Jiring, Kuala Nerus, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana curi dalam bangunan yang dibacakan di hadapan Majistret Abdul Hayyi Salim.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa mencuri telefon bimbit milik Wan Mohd Bukhari Wan Ismail, 33, jam 3 pagi pada 12 Oktober lalu.

Dia yang juga positif dadah jenis amphetamine didakwa melakukan kesalahan itu di dalam Masjid Wakaf Tembesu, Kuala Nerus ketika mangsa tidur di dalam masjid.

Bagi kesalahan itu, tertuduh berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Sejurus pengakuan bersalah tertuduh direkodkan, Abdul Hayyi menetapkan 16 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memandangkan tertuduh masih dikategorikan sebagai pesalah muda.

Abdul Hayyi turut membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nurliyana R Azmi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 8:48 AM