MOHD Yusof  (kanan) melihat kakitangannya menggunting rambut pelanggan di Matt Barber Shop.
MOHD Yusof (kanan) melihat kakitangannya menggunting rambut pelanggan di Matt Barber Shop.

Kuala Nerus: Bermula dengan menggunting rambut di kampung, anak muda dari Batu Enam kini mampu tersenyum bangga apabila memiliki lima kedai gunting sendiri dikenali Matt Barber Shop di seluruh Terengganu selepas hampir 11 tahun menceburi bidang berkenaan.

Ketika ini, Mohd Yusof Taib, 35, mempunyai lima cawangan masing-masing di Wakaf Tembesu, Bukit Tunggal, Gong Badak di Kuala Nerus, Padang Midin di Kuala Terengganu dan Chukai di Kemaman dengan 37 kakitangan menggunakan #andapastikacak.

Mohd Yusof mula menceburi bidang gunting rambut pada 2006 apabila bekerja dengan orang lain selama tiga bulan untuk mencari pengalaman.

“Pada mulanya, saya hanya bekerja secara sambilan di kedai gunting dan menjual burger pada waktu malam sebelum mengambil keputusan memulakan perniagaan sendiri dengan mengambil kira jumlah pendapatan yang diterima ketika itu.

“Ketika itu, saya bekerja dengan orang dan bayaran tidaklah setinggi mana. Saya kemudian nekad membuka kedai sendiri dinamakan Kedai Gunting Wakaf Tembesu.

“Dalam tempoh itu sehingga 2014, saya membuka beberapa kedai tetapi ia tidak bertahan lama disebabkan beberapa faktor termasuk tenaga kerja dan pengendalian operasi yang tidak sistematik,” kata anak sulung daripada lapan beradik ini.

Mohd Yusof berkata, minat mendalam terhadap bidang gunting rambut menyebabkan dia membuat penjenamaan semula kedai gunting rambutnya diberi nama Matt Barber Shop dengan konsep yang lebih moden dan eksklusif pada 2014.

Menurutnya, percaturannya menjenamakan semula perniagaannya nyata membuahkan hasil apabila ia lebih dikenali dan semakin mendapat tempat bagi mereka yang inginkan perkhidmatan menggunting rambut dengan harga berpatutan dalam suasana santai.

“Konsep diperkenalkan Matt Barber Shop itu moden dan eksklusif yang menggabungkan konsep salon dan ‘tukang gunting rambut’ pada masa sama bagi memberi kelainan untuk fesyen rambut.

“Setakat ini, sambutan diterima sangat menggalakkan dan rata-rata pelanggan berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan di kedai ini. Harga RM10 bagi dewasa, RM8 (pelajar sekolah) dan RM7 (kanak-kanak) manakala RM10 pula untuk mencuci rambut,” katanya sambil menambah Matt Barber Shop beroperasi setiap hari bermula jam 10 pagi hingga 10 malam kecuali Jumaat.

Mengenai perancangan masa depan, Mohd Yusof turut menyimpan cita-cita untuk memperluaskan jenama Matt Barber Shop di seluruh pantai timur menjelang 2020.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Julai 2017 @ 9:43 AM