TERTUDUH selepas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Norizuan Shamsuddin.
TERTUDUH selepas dijatuhi hukuman penjara 10 tahun dan dua sebatan di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini. FOTO Norizuan Shamsuddin.
Norizuan Shamsuddin


PEMUDA dihukum penjara 10 tahun dan dua sebatan oleh Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu, hari ini atas tuduhan menikam muka guru menggunakan pisau hingga parah, Julai lalu.

Keputusan dibuat Hakim Nooriah Osman selepas tertuduh, Muhamad Murtazah Md Kasim, 28, mengaku bersalah terhadap pertuduhan berkenaan.

Muhamad Murtazah didakwa sengaja menyebabkan cedera parah sehingga meninggalkan kecacatan kekal di muka mangsa, Mohamad Padzli Ismail, 53, dengan cara menikamnya di sebuah rumah di Kampung Banggol Tok Jiring, Kuala Nerus pada 11 malam, 30 Julai 2019.

Kesalahan didakwa mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Wan Mohd Izzat Wan Abdullah, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Berdasarkan fakta kes, ketika mangsa berada di rumah bersama isteri dan anaknya, mereka dikejutkan dengan kedatangan tertuduh yang tiba-tiba masuk menerusi pintu hadapan.

Tertuduh terus menikam muka mangsa menggunakan pisau dan turut bertindak menikam seorang penduduk kampung, Mohd Hafizam Rashid, 25, di tangan kanan.

Tertuduh turut menyelongkar rumah mangsa sebelum bertindak memecahkan siling dan bumbung bilik tidur untuk bersembunyi.

Pada 10 September lalu di Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman penjara tiga tahun ke atas tertuduh atas kesalahan menyerang Mohd Hafizam Rashid.

Dia juga dihukum penjara 12 bulan masing-masing bagi kesalahan mencuri wang RM40 milik Kedai Runcit Merang dan menceroboh rumah mangsa.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan guru di kolej vokasional di Kuala Terengganu menerima lebih 20 jahitan pada bibir dan sembilan jahitan di tangan kiri akibat bergelut dengan pencuri (tertuduh) yang menyelinap masuk ke rumahnya.

Kejadian berlaku selepas kegiatan lelaki itu yang mencuri duit di kedai runcit berhampiran disedari penduduk kampung dan dia melarikan diri sebelum menceroboh rumah mangsa untuk bersembunyi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 September 2019 @ 3:23 PM