SEMUA tertuduh dibawa ke mahkamah, semalam.
SEMUA tertuduh dibawa ke mahkamah, semalam.
Zatul Iffah Zolkiply

Kuala Terengganu: Dua puluh tiga bekas pelajar Kolej Vokasional Wakaf Tembesu, Kuala Nerus dikenakan bon berkelakuan baik selama dua tahun bercagaran RM3,000 di Mahkamah Majistret di sini, semalam atas tuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga rakan mereka dalam kejadian buli pada Ogos tahun lalu.

Semua tertuduh yang ketika kejadian berusia 17 tahun turut diarahkan melaporkan diri di balai polis berhampiran pada setiap 25 hari bulan selama dua tahun dan hadir ke bengkel interaktif anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas semua tertuduh mengaku salah ketika lima pertuduhan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan iaitu dengan sengaja menyebabkan cedera dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang dibacakan secara berasingan.

Mengikut pertuduhan, semua tertuduh didakwa bersama-sama dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas tiga mangsa berusia 16 dan 17 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di bilik dan luar surau kolej berkenaan antara jam 9 malam hingga 10.30 malam pada 7 Ogos 2017 dan 1.35 pagi hingga 3.40 pagi pada 8 Ogos 2017.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Nik Nur Adila Mat Zaidan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 April 2018 @ 4:38 AM