Remy Izwan diiring anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun kerana mencuri dan memecah masuk dua kedai dobi layan diri. Foto Norizuan Shamsuddin
Remy Izwan diiring anggota polis selepas dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun kerana mencuri dan memecah masuk dua kedai dobi layan diri. Foto Norizuan Shamsuddin
Norizuan Shamsuddin


PRAMUGARA dihukum penjara selama empat tahun oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini selepas mengaku bersalah mencuri dan memecah masuk dua kedai dobi layan diri di Kuala Nerus pada 7 Jun lalu.

Majistret Abdul Hayyi Salim membuat keputusan itu selepas tertuduh, Remy Izwan Roseli, 39, dari Petaling Jaya, Selangor mengaku bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK) kerana melakukan pecah masuk dan Seksyen 380 KK/511KK iaitu mencuri dalam bangunan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun yang sama.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa bersama teman wanitanya, Aimi Shairai Ismail, 32, cuba mencuri di kedai dobi milik Mohd Juman Che Azani, 35, di Blok D Rimba Square, Kuala Nerus antara 4 hingga 4.53 pagi.

Bagi kesalahan itu, Remy Izwan dijatuhi hukuman penjara dua tahun.

Pertuduhan kedua pula, tertuduh didakwa melakukan pecah kedai dobi milik Noor Hamilah Yahya, 47, dengan mencuri wang RM1,000 di Dataran Tembesu, Kuala Nerus antara 5.48 pagi hingga 7.20 pagi pada hari yang sama dan dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan hukuman penjara bagi kedua-dua pertuduhan itu berjalan serentak bermula daripada tarikh tertuduh ditangkap pada 10 Jun lalu.

Sementara itu, Aimi Shairai masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebelum mahkamah menetapkan 15 Julai ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Selain itu, mahkamah turut mengekalkan wang jaminan yang ditawarkan sebelum ini iaitu RM6,000 bagi setiap pertuduhan.

Pendakwaan kes berkenaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Lee Ka Full, manakala tertuduh pula tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, portal Harian Metro melaporkan pramugara syarikat penerbangan tempatan ditahan bersama teman wanitanya di sebuah rumah di Damansara Perdana, Petaling Jaya, Selangor pada 1.35 tengah hari.

Hasil penahan itu, polis turut merampas beberapa barangan disyaki hasil pecah kedai dan peralatan digunakan suspek.

Semakan dilakukan turut mendapati lelaki terbabit memiliki dua rekod jenayah lampau membabitkan kes pecah rumah dan dadah, manakala teman wanitanya memiliki satu rekod jenayah mengikut Seksyen 6 (1) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Julai 2019 @ 6:35 PM