MHD Amin (kanan) pada sidang media mengenai Perhimpunan Bersih 4.0 di Menara DBKL, Kuala Lumpur.
MHD Amin (kanan) pada sidang media mengenai Perhimpunan Bersih 4.0 di Menara DBKL, Kuala Lumpur.
Oleh Mahaizura Abd Malik

Kuala Lumpur: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menempatkan kira-kira 500 anggota khas yang bertugas 24 jam bagi mengawal keadaan sepanjang persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2015 yang dijalankan serentak dengan Perhimpunan Bersih 4.0 pada 29 hingga 30 Ogos ini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memastikan kelancaran persiapan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka dan mengelak berlaku perkara tidak diingini ketika perhimpunan berkenaan berlangsung.

“Penganjur (Bersih 4.0) berjanji tak akan mengganggu persiapan acara kemerdekaan dan tidak masuk ke Dataran Merdeka kerana ia tidak dibenarkan tetapi mereka akan ada di tepi jalan dan penjuru berhampiran.

“Kita tak ada masalah dengan perkara ini, kita anggap mereka macam warga kota lain kalau mereka nak berada di jalanan kita boleh terima selagi mereka tak buat kacau ganggu orang ramai dan harta benda kerajaan.

“Oleh itu, DBKL dan polis akan membuat pemantauan sewajarnya. DBKL akan bantu dalam apa jua situasi terutama dari segi kawalan trafik, keselamatan serta aset DBKL manakala peraturan perhimpunan tertakluk di bawah kawalan polis,” katanya dalam sidang media di Menara DBKL di sini, semalam.

“DBKL ada mencadangkan mereka menunda perhimpunan seminggu selepas sambutan hari kemerdekaan bagi membolehkan mereka berhimpun di Padang Merbok, namun mereka menolak dan tetap meneruskan perhimpunan bermula jam 2 petang (29 Ogos) hingga 12 tengah malam (30 Ogos),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 19 Ogos 2015 @ 7:57 AM