KUALA LUMPUR: Masuk hari kedua, peserta perhimpunan haram mengganggu persiapan terakhir sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Merdeka yang bakal dilangsungkan tidak sampai 24 jam lagi.

Sehingga 2 petang ini, prop perbarisan, poster dan karpet merah antara kelengkapan yang belum lagi dapat dibawa masuk kerana peserta perhimpunan haram mengganggu laluan masuk dan menyukarkan pergerakan petugas sambutan Hari Kebangsaan.

Dengan persiapan terakhir hanya sekitar 50 peratus sahaja setakat ini, penganjur sambutan Hari Kebangsaan membayangkan persiapan terakhir ini tidak akan berjalan dengan lancar seperti yang dirancang selagi peserta perhimpunan haram masih berada di kawasan sekitar Dataran Merdeka.

Malah penganjur sambutan Hari Kebangsaan juga telah merayu kepada peserta perhimpunan tersebut untuk memberi kerjasama dan tidak menjejaskan persiapan terakhir tersebut.

Selain tidak menghormati persiapan terakhir sambutan Hari Kemerdekaan itu, penganjur perhimpunan haram tersebut juga mendapat tempias daripada peserta program mereka sendiri apabila meniup dan bermain vuvuzela sehingga mengganggu orang ramai.

Dalam pada itu, penganjur perhimpunan haram juga menafikan dakwaan mereka menaja atau memberi wang saku kepada peserta perhimpunan seperti yang tersebar melalui sistem pesanan ringkas (SMS) dan aplikasi WhatsApp.

Polis mengisytiharkan perhimpunan itu sebagai tidak sah, yang diadakan selama dua hari, anjuran kumpulan pembaharuan pemilih Bersih 2.0 yang mendakwa memperjuangkan antara lain pilihan raya bersih dan adil serta kerajaan yang bersih.

Di Kuching dan Kota Kinabalu, penganjur perhimpunan telah menamatkan perhimpunan masing-masing tengah malam tadi dan pagi tadi, lebih awal daripada yang dijadualkan pada tengah malam ini.

Antara alasannya ialah tiada sambutan daripada peserta, ramai peserta membawa kanak-kanak bawah umur dan tidak mendapat kebenaran pihak berkuasa. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 30 Ogos 2015 @ 3:56 PM