Fardy Bungga

Kuala Lumpur: Perhimpunan BERSIH 4.0 pada Sabtu dan Ahad ini, di sini, tidak dibenarkan kerana tidak mematuhi syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata, antara syarat utama yang perlu dipenuhi adalah mendapatkan kelulusan untuk menggunakan kawasan berhimpun daripada pemilik tempat dan sehingga kini mereka masih belum mendapat kebenaran.

Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga kini bertegas tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di sekitar ibu kota khususnya di Dataran Merdeka dan Dataran DBKL serta kawasan sekitarnya.

"Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap individu yang terbabit mengikut peruntukan undang-undang," katanya dalam sidang media bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mohd Amin Nordin, di sini, hari ini.

Tajuddin berkata, polis tidak mempunyai masalah untuk membantu penganjur perhimpunan sekiranya mereka mengikut sepenuhnya peruntukan undang-undang dan mengadakan perhimpunan di tempat tertutup seperti stadium untuk mengelakkan kesulitan kepada orang ramai.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 3:38 PM