Oleh hayati Ibrahim dan Fardy Bungga

Putrajaya: Kementerian Dalam Negeri (KDN) meminta orang ramai supaya tidak hadir dan menyertai perhimpunan haram 29 Ogos kerana perhimpunan itu tidak mendapat kelulusan pihak berkuasa.

Ketua Setiausahanya Datuk Seri Alwi Ibrahim berkata, perhimpunan itu dianjur pertubuhan tidak berdaftar.

“KDN menyiasat penganjur perhimpunan dan mendapati ia bukan pertubuhan berdaftar. Malah bergiat secara tidak sah dan mencetuskan suasana gelisah kepada orang ramai.

“Ia menyebarkan propaganda menghasut rakyat bagi tujuan negatif terhadap kerajaan dengan mengedarkan risalah tertentu yang boleh mendatangkan keburukan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Alwi berkata, perhimpunan haram 29 Ogos didapati memberi kesan buruk kepada imej negara, bahkan boleh mengancam dan menggugat ketenteraman awam, keselamatan, kemakmuran ekonomi dan kedaulatan negara.

“Oleh itu, KDN meminta orang ramai supaya tidak hadir dan menyertai perhimpunan pada 29 dan 30 Ogos ini,” katanya.

Perhimpunan haram itu dijangka diadakan berhampiran Dataran Merdeka, Kuala Lumpur, selain diadakan serentak di Kuching (Sarawak) dan Kota Kinabalu (Sabah).

Sementara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata, perhimpunan yang diadakan hujung minggu ini tidak dibenarkan kerana tidak mematuhi syarat Akta Perhimpunan Aman 2012.

Antara syarat utama perlu dipenuhi adalah mendapatkan kelulusan menggunakan kawasan daripada pemilik tempat dan sehingga kini mereka belum mendapat kebenaran.

Menurutnya, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sehingga kini bertegas tidak membenarkan perhimpunan itu diadakan di sekitar ibu kota khususnya di Dataran Merdeka dan Dataran DBKL serta kawasan sekitarnya.

“Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap penganjur perhimpunan itu mengikut peruntukan undang-undang,” katanya dalam sidang media bersama Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Mohd Amin Nordin, di sini, semalam.

Tajuddin berkata, polis tidak mempunyai masalah untuk membantu penganjur perhimpunan sekiranya mereka mengikut sepenuhnya peruntukan undang-undang dan mengadakan perhimpunan di tempat tertutup seperti stadium untuk mengelakkan kesulitan kepada orang ramai.

Sementara itu, Mohd Amin mengulangi pendirian tidak membenarkan perhimpunan diadakan di lokasi awam, khususnya di Dataran Merdeka dan Dataran DBKL.

Katanya, DBKL sedia membenarkan penganjur menggunakan Stadium Titiwangsa yang berada di bawah seliaan DBKL atau membantu mereka memohon Stadium Nasional Bukit Jalil daripada pihak Majlis Sukan Negara atau Stadium Merdeka daripada Permodalan Nasional Berhad.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 9:30 AM