Nur Jazlan (duduk tengah) bersama sebahagian penerima  Pingat Jasa Pahlawan Negara selepas majlis penganugerahan kepada pesara polis sempena sambutan Hari Polis Ke-208 tahun 2015 di Dewan Perdana Felda.
Nur Jazlan (duduk tengah) bersama sebahagian penerima Pingat Jasa Pahlawan Negara selepas majlis penganugerahan kepada pesara polis sempena sambutan Hari Polis Ke-208 tahun 2015 di Dewan Perdana Felda.
Oleh Mohamad Azim Fitri Abd Aziz

Kuala Lumpur: Orang ramai yang berniat menyertai perhimpunan Bersih 4 pada 29 dan 30 Ogos ini disaran melupakan hasrat itu sebaliknya lebih memberi fokus kepada sambutan Hari Kemerdekaan ke-58 negara yang lebih berjiwa patriotik.

Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, mengenang jasa perwira negara dan menghargai jasa mereka pada sambutan kemerdekaan lebih bersifat patriotik berbanding menyertai perhimpunan Bersih 4.

Beliau berkata, biarpun terdapat dakwaan bahawa mereka yang menyertai perhimpunan berkenaan disifatkan lebih patriotik, namun ia bukan seperti digambarkan kerana perhimpunan berkenaan mempunyai kepentingan kepada beberapa individu.

“Biar orang hendak cakap apa sahaja. Yang pasti mengenang jasa dan pengorbanan perwira tanah air itu (sambutan Hari Kemerdekaan) lebih patriotik,” katanya pada majlis penganugerahan Pingat Jasa Pahlawan Negara, di sini, semalam.

Menurutnya, tindakan penganjur Bersih 4 yang hendak melakukan perhimpunan itu pada hari sambutan kemerdekaan sama sekali tidak wajar kerana sambutan hari kemerdekaan akan diadakan di Dataran Merdeka dan mereka perlu memilih tarikh lain.

Beliau berkata penganjur harus mengikut nasihat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) supaya tarikh dan lokasi penganjuran itu dipinda selain mengikut prosedur ditetapkan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 Ogos 2015 @ 8:53 AM