Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kuala Lumpur: Polis tidak pernah memberi kebenaran kepada penganjur perhimpunan haram yang akan diadakan pada Sabtu dan Ahad ini sepertimana kenyataan yang dikeluarkan pengerusi perhimpunan itu dalam satu portal berita bahasa Inggeris hari ini.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Tajudin Md Isa berkata, penganjur diingatkan tidak memutar belit kenyataan yang dikeluarkan polis sebelum ini.

"Dalam perjumpaan yang diadakan Ketua Polis Daerah Dang Wangi bersama pihak penganjur jam 10 pagi tadi, polis sudah menasihatkan penganjur supaya tidak mengadakan perhimpunan di Dataran Merdeka dan kawasan sekitarnya.

"Bermula 26 hingga 30 Ogos ini juga akan berlangsungnya persiapan bagi majlis sambutan Hari Kemerdekaan 2015," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, perhimpunan berkenaan menyalahi undang-undang kerana penganjur tidak mendapat kebenaran daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sepertimana yang disyaratkan di bawah Seksyen 11 Akta Perhimpunan Aman 2012 (Akta 736).

"Polis bertanggungjawab memastikan keselamatan orang ramai dan ketenteraman awam terjamin.

"Orang ramai juga dinasihatkan memberi kerjasama tidak memasuki kawasan Dataran Merdeka bagi menyertai perhimpunan yang menyalahi undang-undang sepanjang tempoh berkenaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 Ogos 2015 @ 7:01 PM