Oleh Mohd Husni Mohd Noor

Putrajaya: Kementerian Kesihatan menafikan dakwaan mengaitkan sebuah kilang beras di Kedah kononnya menghasilkan beras palsu.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan semalam mengatakan dakwaan itu tidak berasas.

Beliau berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai isu beras palsu seperti yang tersebar dalam media sosial sejak sebulan lalu yang didakwa dihasilkan di China.

“Berdasarkan kenyataan dikeluarkan pada 21 Mei lalu, majoriti beras diimport dari Vietnam, Thailand dan Pakistan seperti yang dimaklumkan oleh Padiberas Nasional Berhad (BERNAS).

“Malah, pengimportan beras dari China terlalu kecil, kurang 0.01 peratus berbanding jumlah import keseluruhan beras iaitu 800,000 tan metrik setahun yang hanya berdasarkan permintaan untuk kegunaan di restoran makanan Jepun dan Korea di negara ini,” katanya.

Menurutnya, hasil pemantauan Kementerian Kesihatan mendapati dakwaan kononnya sebuah kilang beras di Kedah menghasilkan beras palsu langsung tidak berasas dan orang ramai tidak perlu khuatir kerana aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan keselamatan makanan sentiasa dijalankan bagi memastikan makanan di pasaran selamat.

Katanya, sekiranya pengguna ragu-ragu dengan status keselamatan sesuatu makanan di pasaran, mereka boleh membuat aduan kepada Kementerian Kesihatan melalui Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah terdekat atau melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM www.facebook.com/bkkmhq.

Sebelum ini, orang ramai dikejutkan dengan penyebaran gambar bungkusan beras palsu menggunakan jenama tempatan yang didakwa dibungkus di sebuah kilang di Kedah hingga menjadi viral dalam aplikasi WhatsApp.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 28 Jun 2015 @ 5:25 AM