BISKUT yang disejuk dan diproses dengan menggunakan cecair nitrogen. FOTO arkib NSTP
BISKUT yang disejuk dan diproses dengan menggunakan cecair nitrogen. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim


Putrajaya: Pengeluar atau penyedia makanan yang menggunakan cecair nitrogen dalam produk makanan yang dihasilkan perlu memastikan cecair dalam produk makanan itu sudah meruap sepenuhnya sebelum dijual kepada pengguna untuk mengelakkan melecur atau radang dingin (frostbite).

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, cecair nitrogen harus digunakan pada tahap yang bersesuaian bagi mencapai tujuan yang dimaksudkan, iaitu untuk membekukan produk.

"Pada amnya, selepas pembekuan produk makanan, cecair nitrogen akan meruap dengan cepat menjadi gas dan tidak kekal di dalam produk makanan siap.

"Oleh itu isu keselamatan makanan berhubung makanan yang dihasilkan atau disediakan menggunakan cecair nitrogen tidak timbul," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Harian Metro melaporkan tangan seorang remaja Mohd Aiman Mohd Ridwan, 16 mengelembung dan mengeluarkan air bisa selepas terkena biskut berasap atau ‘dragon breath’ yang dibeli di sekitar bandar raya Alor Setar, Kedah, Jumaat lalu.

Biskut berkenaan dibeli pada harga RM10 untuk 20 keping biskut di sebuah kedai berhampiran bazar larut malam.

Mohd Aiman dipetik berkata, tapak tangannya rasa panas seolah-olah dituang air menggelegak selepas dituang biskut berasap yang patah di atas tangannya.

Dr Noor Hisham berkata, cecair nitrogen adalah gas nitrogen tidak berbahaya yang disejukkan ke suhu yang sangat rendah (-196°C) sehingga menjadi cecair.

Katanya, ia digunakan dalam banyak aplikasi industri makanan seperti penyejukan serta-merta ais serta dalam pembuatan ais krim.

Ia juga digunakan dalam pembekuan serta-merta makanan termasuk biskut untuk memberikan tekstur berkabus menghasilkan kebaharuan kepada pengguna apabila asap dihembus keluar ketika dimakan.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam keselamatan pengguna.

"Sekiranya pengguna ragu dengan status keselamatan makanan yang terdapat di pasaran tempatan, mereka boleh membuat laporan kepada kementerian melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) atau Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) terdekat atau melalui laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) http://fsq.moh.gov.my atau facebook BKKM," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Disember 2016 @ 12:09 AM