Coklat jenama Mars dan Snickers yang dikilangkan di Belanda ditarik balik penjualannya. FOTO Reuters
Coklat jenama Mars dan Snickers yang dikilangkan di Belanda ditarik balik penjualannya. FOTO Reuters
Siti A'isyah Sukaimi


Putrajaya: Penarikan coklat jenama Mars, Snickers, Milky Way dan Celebration yang dikilangkan di Belanda tidak membabitkan Malaysia kerana produk dijual di sini diimport dari China, Australia dan Amerika Syarikat.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara berkenaan disahkan oleh syarikat MARS Malaysia yang memaklumkan ia tidak membabitkan produk dijual di sini.

Menurutnya, Kedutaan Belanda di Malaysia mengesahkan semua produk berkenaan yang dieksport ditarik balik oleh syarikat, manakala penarikan balik produk di pasaran tempatan Belanda sedang dijalankan.

"Kementerian Kesihatan mengambil maklum laporan beberapa media tempatan dan luar negara berhubung syarikat Mars Chocolate menarik balik coklat jenama Mars, Snickers, Milky Way dan Celebration yang di kilang di Belanda.

"Ia sebagai langkah berjaga-jaga susulan penemuan kepingan plastik di dalam coklat jenama Snickers oleh seorang pembeli di Jerman pada 8 Januari lalu," katanya dalam kenyataan hari ini.

Penarikan berkenaan membabitkan produk di kilang pada tarikh antara 5 Disember 2015 sehingga 18 Januari 2016 serta dilabel 'Mars Netherland'.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, pihaknya sentiasa peka dan prihatin terhadap perkara yang boleh mengancam kesihatan pengguna.

"Jika pengguna mempunyai sebarang kemusykilan berhubung sebarang isu keselamatan makanan, hubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat atau melalui laman sesawang http://moh.spab.gov.my.

"Selain itu,Facebook (FB) Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) www.facebook.com/bkkmhq," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Februari 2016 @ 10:28 PM