Kuala Lumpur: Kementerian Kesihatan (KKM) akan terus berwaspada dalam memantau isu `beras palsu’ yang dihasilkan di China.

Ketua Pengarahnya, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dalam satu kenyataan berkata, Kementerian akan memaklumkan kepada orang ramai jika ada sebarang maklumat baharu berhubung kebimbangan tentang keselamatan makanan.

“Kementerian Kesihatan ingin menasihatkan pengguna yang bimbang dan curiga mengenai keaslian beras supaya memaklumkan kepada Kementerian sama ada melalui pejabat kesihatan yang terdekat atau laman sesawang Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM): http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhg,’ katanya.

Beliau berkata Kementerian Kesihatan sedar tentang berita yang tersebar di laman sosial bahawa “beras palsu” dihasilkan di China dengan mencampurkan kentang dan ubi keledek dan resin sintetik.

Beras itu didakwa dieksport ke beberapa negara Asia.

Maklumat melalui media menunjukkan bahawa beras tiruan ini boleh dibezakan kerana rasa nasi lebih keras selepas dimasak dan lapisan seperti sarung plastik terbentuk apabila nasi dimasak.

Dr Noor Hisham berkata, Kementerian Kesihatan ingin menegaskan bahawa resin plastik biasanya digunakan sebagai bahan pembungkusan makanan dan tidak pernah ditambah ke dalam makanan untuk dimakan atas apapun alasan.

Baru-baru ini, rakaman video selama dua minit 30 saat mengenai kewujudan `beras palsu’ yang dihasilkan di China telah menjadi viral dalam laman sosial.

Sementara itu, beliau berkata, menurut Padiberas Nasional Berhad (BERNAS), majoriti beras import ialah dari Vietnam, Thailand dan Pakistan.

“Pada 2014, hanya 10 tan metrik beras diimport dari China sementara pada 2015 (sehingga 30 April), hanya 22 tan metrik diimport.

Jumlah beras yang diimport dari China adalah kecil dan sedikit sahaja (kurang daripada 0.01 peratus) berbanding jumlah import keseluruhan kira-kira 800,000 tan metrik,’ kata kenyataan itu. - Bernama

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Mei 2015 @ 11:13 PM