TERTUDUH ketika di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.
TERTUDUH ketika di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, semalam.

Kota Bharu: Seorang remaja berusia 17 tahun mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tuduhan menyebabkan kematian pelajar junior berumur 16 tahun di sebuah kolej vakasional di Bachok, 12 Mei lalu.

Tertuduh membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Mohd Yusoff Yunus.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan perbuatan hingga menyebabkan kematian Muhammad Nur Akram Zime, 16, dengan niat.

Untuk kesalahan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 30 tahun dan denda.

Timbalan Pendakwa Raya Siti Hajar Alias menawarkan jaminan RM15,000 kepada tertuduh.

Bagaimanapun, peguam Muhammad Hasif Hasan yang mewakili tertuduh memohon jaminan dikurangkan kerana dia masih belajar dan bapanya bekerja sebagai pembantu am manakala ibunya suri rumah.

Mohd Yusoff membenarkan jaminan RM10,000 dan menetapkan 30 Jun ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Harian Metro sebelum ini melaporkan mangsa maut berikutan saluran darah ke bahagian otak putus selepas ditendang dua kali di leher oleh pelajar tahun dua kolej vokasional di Bachok.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Mei 2015 @ 9:01 AM