Butterworth: Selepas dikejar sejauh kira-kira dua kilometer dari Jalan Uda hingga Jalan Permatang Pauh di sini, dua penjenayah yang dipercayai terbabit dalam kes pecah rumah berjaya ditahan anggota kereta peronda (MPV), malam kelmarin.

Dalam kejadian jam 9.10 malam, kedua-dua suspek yang menaiki sebuah Proton Wira itu dikatakan merempuh kenderaan dijadikan Balai Polis Bergerak selepas mereka cuba ditahan selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan di Kawasan Perindustrian Mak Mandin di sini.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, ketika dihampiri untuk diperiksa, kedua-dua suspek terus melarikan diri dengan kereta sebelum merempuh kenderaan Balai Polis Bergerak itu sehingga remuk.

Beliau berkata, berikutan rempuhan itu, kenderaan itu terbabas sebelum terkena penghadang jalan menyebabkan seorang daripada dua anggota bertugas di dalamnya cedera.

“Selepas dimaklumkan kejadian itu, beberapa MPV mengejar kereta suspek melalui Jalan Raja Uda hingga ke Jalan Permatang Pauh sebelum kedua-dua penjenayah ditahan di Jalan Lunas berdekatan sebuah bank di Seberang Perai Tengah di sini,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Menurutnya, hasil pemeriksaan terhadap kereta suspek, polis menjumpai beberapa peralatan pecah rumah sebelum kedua-dua mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah SPU untuk siasatan lanjut.

“Hasil saringan air kencing terhadap suspek mendapati kedua-dua mereka positif dadah jenis amphetamine tetapi tiada rekod jenayah lampau.

“Polis merampas wang tunai berjumlah RM868 daripada suspek serta beberapa dompet dan kad pengenalan dipercayai milik mangsa jenayah mereka,” katanya.

Katanya, selain itu, polis turut memperoleh beberapa barangan dicuri daripada suspek termasuk beberapa telefon bimbit, jam tangan, komputer riba serta barangan elektrik.

Beliau berkata, pihaknya masih menyiasat kes itu dan tidak menolak kemungkinan berjaya menyelesaikan beberapa kejadian pecah rumah di sekitar Butterworth dengan tertangkapnya kedua-dua suspek.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 379 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan iaitu masing-masing mencuri kenderaan dan mencuri dalam bangunan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mei 2015 @ 10:51 AM