PENYOKONG Barca mahu Yamal dan Williams bergandingan di kelab itu.
PENYOKONG Barca mahu Yamal dan Williams bergandingan di kelab itu.
Reuters

Barcelona: Penyokong Barcelona mula menyalurkan dana dalam akaun rasmi TikTok kelab bagi membantu gergasi LaLiga itu menandatangani penyerang Nico Williams.

Pemain sayap Athletic Bilbao berusia 22 tahun itu menjadi sasaran utama beberapa kelab besar Eropah selepas menyerlah bersama Sepanyol yang meraih tujuh kemenangan berturut-turut di Kejohanan Eropah.

Williams yang menjaringkan dua gol termasuk jaringan pembukaan ketika menang 2-1 ke atas England pada final mempamerkan gandingan mantap bersama penyerang Barcelona Lamine Yamal yang dinobatkan pemain muda terbaik kejohanan.

Penyokong Barcelona kini teruja dan mahu melihat gandingan Yamal-Williams menjadi kenyataan serta sedia membantu kelab yang berdepan masalah kewangan sejak akhir-akhir ini.

"Tandatangani Nico", "Kami 100% perlukan Nico" dan "Untuk Nico Williams" antara komen dalam video di TikTok Barcelona.

Menurut Transfermarkt, nilai pasaran Williams kini dianggarkan 70 juta euro (RM356 juta) manakala media Sepanyol melaporkan Athletic menetapkan yuran pembebasannya 58 juta euro (RM295 juta).

Barcelona yang menduduki tangga kedua LaLiga dan tersingkir di suku akhir Liga Juara-Juara musim lalu masih belum menandatangani sebarang pemain pada jendela perpindahan musim panas.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 8:38 AM