DUA suspek pecah rumah dicekup selepas merempuh kenderaan polis. FOTO ihsan pembaca
DUA suspek pecah rumah dicekup selepas merempuh kenderaan polis. FOTO ihsan pembaca
Oleh Shamsul Munir Safini


Kepala Batas: Dua suspek lelaki pecah rumah masing-masing berusia 22 dan 28 tahun dicekup polis selepas merempuh kenderaan pihak berkuasa dalam usaha melarikan diri menaiki kereta di Jalan Lunas, Seberang Perai Tengah, 9.10 malam tadi.

Dalam kejadian itu, dua suspek menaiki kereta berkenaan melarikan diri sejurus ditahan polis di Kawasan Perindustrian Mak Mandin sebelum dikejar sejauh lebih 10 kilometer sehingga ke Jalan Permatang Pauh, Seberang Perai Tengah.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Abdul Rahman Ibrahim berkata, suspek kemudian merempuh van Balai Polis Bergerak Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) SPU dalam usaha melarikan diri.

Beliau berkata, suspek kemudian ditahan polis dan hasil pemeriksaan pihaknya menemui peralatan pecah rumah di dalam kereta suspek.

Menurut beliau, kedua mereka ditahan sebelum dibawa pulang ke IPD SPU bagi tindakan selanjutnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Mei 2015 @ 3:37 PM