FOTO HIASAN.
FOTO HIASAN.
Oleh Dr Izham Hakimi Redzan

Segenap aspek kehidupan junjungan besar kita Nabi Muhammad SAW tidak sepi daripadanya suatu pengajaran dan teladan. Oleh yang demikian, perlu untuk kita memperingati dan mengambil pengajaran di sebalik hayat kehidupan baginda SAW. Allah SWT berfirman dalam surah Ibrahim, ayat 5: "Dan ingatilah mereka (wahai Muhammad) tentang hari-hari Allah SWT)."  

Ahli tafsir seperti Ibnu Kathir (w.774H) berkata: "Maksud hari-hari Allah SWT ialah nikmat-nikmat Allah SWT". Sudah tidak syak lagi bahawa antara nikmat terbesar ke atas umat manusia adalah pengutusan Nabi SAW yang membawa risalah tauhid Allah SWT dan rasul-rasul terdahulu untuk sekalian alam dengan menyempurnakan kesempurnaan akhlak. Antara cara untuk mengingati nikmat-nikmat Allah SWT terhadap manusia adalah dengan meneladani sirah nabi SAW kerana ada pada diri Rasulullah SAW itu suatu ikutan yang baik.

Difahami daripada perkara yang disebutkan, bahawa antara hari-hari Allah SWT adalah juga hari-hari Nabi SAW ataupun dikenali sebagai sirah Nabi SAW. Ini kerana penyebutan nama Nabi SAW itu akan selalu diselingkan dengan penyebutan nama Allah SWT. Ini berdasarkan firman Allah SWT dalam surah Āli-'Imrān, ayat 31: "Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah SWT mengasihi kamu."

Ini bermaksud tidak sempurna kecintaan kepada Allah SWT kecuali dengan mencintai Baginda Nabi SAW. Maka, salah satu cara untuk mengikuti Nabi SAW adalah dengan mengetahui dan meneladani sirah Nabi SAW.

 Dalam sebuah hadis Nabi SAW bersabda: "Tidak sempurna iman seseorang kamu sehingga aku (Rasulullah SAW) lebih kamu sayang daripada orang tuanya, anaknya dan manusia keseluruhannya." HR al-Bukhari

Oleh yang demikian, kesempurnaan iman itu disyaratkan dengan kecintaan terhadap Nabi SAW.

Allah SWT juga menyeru kepada manusia untuk mengambil teladan daripada peristiwa yang berlaku, khususnya apa yang berkaitan dengan Nabi SAW. Perkara ini difahami daripada firman Allah SWT dalam surah an-Nur, ayat 44: "Allah menukarkan malam dan siang silih berganti; sesungguhnya yang demikian mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang celik mata hatinya berfikir."

Antara salah satu peristiwa yang besar dalam sirah Nabi SAW ialah peristiwa  hijrah Nabawi  yang merupakan salah satu daripada peristiwa yang sangat bersejarah bagi masyarakat Islam. Hijrah Nabawi adalah had pemisah antara hak dan batil setelah bertahun-tahun masyarakat Islam di Makkah dianiaya, dizalimi dan ditindas. Begitu juga, hijrah merupakan titik tolak kepada kemenangan umat Islam yang Allah SWT janjikan kepada kekasih-Nya.

Disebabkan nilai yang besar pada  hijrah Nabawi  ini, maka telah dipilih tahun bermulanya kalendar Islam dengan tahun penghijrahan Nabi SAW. Bermulanya kisah perletakan kalendar Islam apabila Abu Musa al-Ash'ari yang merupakan gabenor kota Basṣrah pada zaman Khilafah Umar al-Khattāb mengadu surat yang diutuskan oleh Khalifah tidak bertarikh. Oleh yang demikian, Umar Al-Khattāb mengumpulkan sahabatnya berbincang berkenaan tahun apakah yang sesuai untuk dimulakan dengannya tarikh kalendar Islam. Berkata sebahagian sahabat: "Kita mulakan dengan tahun kenabian Nabi SAW." Yang lain mencadangkan tahun penghijrahan Nabi SAW. Maka, Khalifah bersetuju dengan tahun penghijrahan Nabi SAW ke Madinah kerana hijrah itu tahun yang membezakan antara yang hak dan batil.

Oleh yang demikian, tahun pertama digunakan kalendar Islam ini pada tahun ke-17 Hijrah. Berkata Ibn Hajar al-'Asqalani (w.852H) dalam  Fathḥu al-Bari: "Sebahagian daripada para ulama memberi sebab kenapa munasabahnya dimulakan kalendar Islam dengan tarikh hijrah bukannya tarikh yang lain. Antara kebarangkalian tarikh yang boleh untuk diletakkan sebagai tarikh tahun pertama kalendar Islam ada empat tarikh:

- Tahun kelahiran Nabi SAW

- Tahun kenabian Nabi SAW

- Tahun hijrahnya Nabi SAW

- Tahun kewafatan Nabi SAW

Sebahagian daripada sahabat  mentarjiḥhkan  (mengutamakan) tahun hijrah penghijrahan Nabi SAW. Hal ini kerana tahun kelahiran dan tahun kenabian Nabi SAW itu tidak sepi daripada berlakunya percanggahan pada menentukan bilakah tahun tersebut. Adapun tarikh kewafatan, perlu dielakkan kerana ada padanya kesedihan disebabkan kewafatan Nabi SAW. Oleh yang demikian, tarikh yang tinggal daripada kebarangkalian tadi ialah tarikh hijrah.  

Imam az-Zahabīi (w.748H) dalam kitab  Tārikh  al-Islām  berkata: "Mengikut pendapat yang paling  rajiḥ h (paling tepat) sesungguhnya hijrah Nabi SAW daripada Makkah ke Madinah berlaku pada 2 Rabiulawal yang bersamaan 20 September 622 Masihi, yakni 13 tahun selepas kenabian."

Seperti mana yang disebutkan, Rasulullah SAW tiba di Madinah semasa penghijrahan adalah pada bulan Rabiulawal, akan tetapi mengapakah diletakkan permulaan tarikh hijrah itu pada bulan Muharam?

Perkara ini telah dijawab oleh Ibn Hajar al-'Asqalani dalam  Fatḥu al-Bari: "Sesungguhnya ulama-ulama mengakhirkan Rabiulawal kepada Muharam kerana permulaan azam untuk berhijrah berlaku pada Muharam. Ini kerana berlakunya baiah kepada Nabi SAW (Baiah Aqabah Kedua) pada bulan Zulhijah yang mana ia adalah permulaan detik bagi hijrah. Seterusnya penampakan awal  hilal (anak bulan) selepas baiah dan azam untuk berhijrah ialah hilal (anak bulan) Muharam. Oleh yang demikian, dengan munasabah ini, dijadikan bulan Muharam sebagai bulan pertama dalam kalendar Islam. Dan ini ialah hujah yang paling kuat yang aku dapati mengapa munasabahnya Muharam sebagai bulan pertama dalm Kalendar Islam."

Banyak teladan dan pengajaran yang boleh kita singkapi daripada peristiwa penghijrahan Nabi SAW, antaranya ialah:Pertama, Rasa kecintaan terhadap Nabi SAW. Ini dapat dilihat bagaimana masyarakat Madinah menanti ketibaan baginda ke kota ini. Ketibaan Nabi SAW disambut dengan penuh kegembiraan dengan alunan qasidah mengambarkan kegembiraan penduduk Madinah sehinggalah sekumpulan kanak-kanak mendendangkan satu rangkap gurindam yang bermaksud: (Kami ialah jiran-jiran(mu) daripada Bani Najar. Alangkah gembiranya (kami) dengan kepedudukan Muhammad sebagai jiran (kami). Apabila Nabi SAW mendengar gurindam ini baginda Nabi SAW menukar rasa kecintaan ini dengan berkata: (Demi Allah! Hati aku mencintai kamu).

Kedua penubuhan institusi kemasyarakatan.  Sebelum tibanya baginda Nabi SAW ke kota Madinah baginda singgah di sebuah kawasan yang dikenali sebagai Quba' (berdekatan Madinah). Di sini, Nabi SAW mengasaskan sebuah masjid yang pertama yang merupakan institusi kemasyarakatan bagi pembangunan modal insan dari aspek rohani dan jasmani berasaskan takwa. Allah SWT telah menggambarkan perkara ini dalam firmannya: "Sesungguhnya masjid (Quba), yang telah didirikan di atas dasar takwa dari mula (wujudnya), sudah sepatutnya engkau sembahyang padanya. Di dalam masjid itu ada orang-orang lelaki yang suka mensucikan dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin." Surah at-Taubah: 104

Ketiga, kehidupan bersama  (Ta'āyush). Islam tidak menghalang daripada berinteraksi dengan golongan bukan Islam. Bahkan Nabi SAW memilih Abdullah bin Uraiqiṭ (bukan Islam) sebagai penunjuk jalan kepada baginda dan Abu Bakar aṣs-Siddiq ketika mereka berdua keluar berhijrah ke Madinah. Islam tidak menghalang untuk berinteraksi dan melakukan kebajikan kepada orang bukan Islam, akan tetapi Islam melarang kepada kezaliman dan penindasan kepada manusia. Malah haram melakukan kezaliman terhadap haiwan dan tumbuh-tumbuhan, bahkan terhadap perkara yang tidak hidup sekalipun.

Keempat, wajib untuk membantu sesama orang Islam. Dalam peristiwa hijrah kita dapat melihat golongan Anṣsar sedaya upaya membantu Nabi SAW dan golongan muhajirin daripada penindasan dan kezaliman dengan menjadikan Madinah sebagai kota keamanan. Imam Abu Bakar Ibnu al-Arabi al-Ma'āfiri (w 543H) berkata: "Para ulama bersepakat bahawa orang Islam wajib ke atas umat Islam membantu saudara seagamanya yang ditindas, dizalimi, ditawan walaupun sejauh manapun jarak keberadaan mereka dengan kita. Begitulah juga, kita perlu mengerahkan segala kudrat tenaga untuk menyelamatkan mereka. Jika tidak mampu kita mengeluarkan segala harta kita untuk mengeluarkan mereka daripada penindasan, kezaliman, peperangan dan cengkaman musuh sehinggalah tidak tinggal seorang daripada umat Islam satu sen pun daripada hartanya."

Penulis Felo Penyelidik di Institut Islam Hadhari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 7:01 AM