KAMARUDIN menunjukkan ramp yang dibina untuk memudahkan akses kepada OKU dan warga emas.
KAMARUDIN menunjukkan ramp yang dibina untuk memudahkan akses kepada OKU dan warga emas.
Nurul Husna Mahmud


JUMLAH penduduk di Malaysia dianggarkan seramai 38 juta pada 2030.

Justeru, penyediaan kemudahan masyarakat yang mencukupi dan berkualiti adalah penting untuk menampung peningkatan jumlah penduduk di negara ini.

Akses kepada kemudahan masyarakat juga amat penting dan perlu diambil kira sebagai indikator untuk mengukur tahap kualiti hidup masyarakat terutama warga emas dan orang kurang upaya (OKU) di kawasan bandar atau luar bandar.

Pengurus Jaringan dan Kolaborasi, Fakulti Kecerdasan Buatan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Sr Dr Tuti Haryat Jasimin berkata, penyediaan infrastruktur tertentu dalam kawasan perumahan dilihat satu kekangan meskipun membabitkan projek perumahan baharu.

"Ada beberapa cabaran yang dihadapi pemaju dan kerajaan dalam usaha menyediakan infrastruktur lengkap dan memenuhi keperluan penduduk terutama warga emas dan OKU.

"Penambahan kos kepada pembinaan semestinya berlaku seperti penyediaan 'ramp', lif, palang sokongan dan ruang lebih luas untuk akses kerusi roda.

"Ditambah pula penguatkuasaan yang lemah oleh pihak berkuasa meskipun sudah ada peraturan tertentu menyebabkan banyak pemaju tidak mematuhi standard ditetapkan.

"Dalam kes perumahan lama dan matang, isu kerap kali diketengahkan ialah keterbatasan ruang yang mana ruang untuk pembangunan adalah terhad dan membina infrastruktur mesra OKU dan warga tua mungkin memerlukan lebih banyak ruang," katanya.

Malah, berdasarkan tinjauan dan kaji selidik dijalankan di perumahan matang sekitar Kuala Lumpur, pihaknya mendapati isu infrastruktur antara masalah perumahan dihadapi membabitkan penduduk warga emas.

"Kajian selidik kami menunjukkan ramai penduduk terutama warga tua dan OKU tidak berpuas hati dengan tahap aksesibiliti dan keselamatan di kawasan perumahan mereka.

"Kesannya mereka tidak selesa dan tenang untuk tinggal di kawasan perumahan itu.

"Persepsi pemaju pula penyediaan infrastruktur tambahan hanya meningkatkan harga jualan rumah sehingga boleh menjejaskan pasaran," katanya.

Beliau menyarankan program khas untuk pemaju dalam aspek latihan dan sumber supaya mereka dapat mempraktiskan amalan pembinaan baik untuk perumahan insklusif.

"Kerajaan tidak hanya menjalankan kempen kesedaran dan pendidikan untuk pemaju, mereka boleh wujudkan sokongan seperti insentif kewangan atau rebat kepada pemaju atau pihak korporat yang menyediakan kemudahan mesra OKU dan warga tua," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Abdullah Hukum, Kamarudin Kusan, pula berkata, usia bangunan diuruskan pihaknya mencecah 20 tahun itu bukan mudah kekal relevan dengan keperluan penduduk.

Terutama dalam penyediaan infrastruktur sepadan dengan gaya hidup dan keperluan masyarakat masa kini.

"Tidak dinafikan satu cabaran buat JMB di sini untuk kekal relevan setara dengan pembangunan premis dan kediaman sekeliling sudah jauh ke hadapan.

"Namun, berpegang pada realiti, kemudahan untuk pemilik hartanah tetap ada pembaharuan yang mana dilakukan mengikut kapasiti dan tahap kewangan JMB.

"Pada asalnya dua blok perumahan ini yang juga penempatan semula perkampungan atau kawasan setinggan, sudah ada beberapa inisiatif naik taraf dilakukan bagi memenuhi keperluan penduduk," katanya.

Pihaknya menaik taraf laluan akses ke parkir dengan pembinaan ram mesra untuk pengguna kerusi roda selain laluan berjalan kaki konkrit bagi akses mudah ke padang dan sebagainya.

"Dari segi fasiliti, kami turut mengambil kira latar belakang pemilik dan penduduk kebanyakannya warga emas kira-kira 60 peratus membabitkan 40 peratus penduduk asal masih tinggal di sini.

"Sebahagian pula warga asing kerana lokasi ini menjadi tumpuan syarikat menempatkan pekerjanya.

"Fasiliti seperti lif, parkir, taman awam dan kemudahan surau bagi kawasan perumahan yang memiliki 600 unit membabitkan lebih 3,500 penghuni sangat penting," katanya.

Akui Kamarudin, cabaran utama dalam penyediaan infrastruktur yang lebih baik untuk penduduk ialah apabila pihaknya 'bergelut' dengan isu kewangan.

"Cabaran JMB adalah isu pemilik rumah culas melunaskan yuran penyelenggaraan, sedangkan keperluan kewangan untuk menampung perbelanjaan sebulan mencecah RM60,000.

"Semestinya untuk menaik taraf infrastruktur tambahan memerlukan dana lain bagi memastikan perbelanjaan untuk komitmen sedia ada tidak terjejas," katanya.

Harapan pengerusi JMB itu cukup besar terutama dapat menyokong pembangunan sosial terutama kesediaan untuk warga emas dan keperluan komuniti.

"Kalau infrastruktur, harapan pihak JMB kami mahu sediakan pusat atau sudut refleksologi dan pusat kecergasan supaya dapat menyokong aktiviti golongan itu.

"Maklumlah semua ini warga emas bandar dan kemudahan itu relevan dengan keperluan penduduk untuk tahun mendatang.

"Selain itu, fasiliti keselamatan seperti pemadam api perlu pemeriksaan dan penyelenggaraan berkala juga sukar untuk dipenuhi ketika ini atas faktor dana sedia ada sangat terhad.

"Saya berharap agensi berkaitan termasuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) boleh melihat aspek ini sebagai satu lagi inisiatif boleh disokong oleh kementerian itu bagi memastikan keselamatan kawasan perumahan," katanya.

Pihaknya turut melakukan kolaborasi dengan korporat dalam usaha membantu menaik taraf kemudahan untuk penduduk atau pemilik rumah.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 7:00 AM