PENYOKONG Colombia ditahan kerana cuba memasuki stadium tanpa tiket pada aksi final Copa America.
PENYOKONG Colombia ditahan kerana cuba memasuki stadium tanpa tiket pada aksi final Copa America.
Agensi

Florida: Penonton memfailkan saman ke atas badan bola sepak Amerika Selatan CONMEBOL dan operator Stadium Hard Rock susulan kekecohan yang berlaku sebelum final Copa America Isnin lalu.

Mereka mendakwa membeli tiket yang sah untuk menyaksikan pertembungan Argentina dan Colombia tetapi kekacauan yang tercetus menyebabkan mereka dilarang memasuki stadium.

Saman pertama oleh Jaqueline Martinez kelmarin ke atas Stadium South Florida LLC (Stadium Hard Rock) dan CONMEBOL manakala yang kedua semalam daripada Marta Pintos, Eduardo Martinez serta Nicolas Osorio ke atas defendan sama.

Setiap saman itu menuntut mereka dibayar ganti rugi AS$100,000 (RM467,487).

Perlawanan Argentina dan Colombia di Miami Gardens, Florida, tertangguh 82 minit selepas penonton yang tidak mempunyai tiket menceroboh stadium dengan melepasi halangan keselamatan.

Pegawai stadium kemudiannya menyekat pintu masuk ke stadium tetapi keadaan semakin tidak terkawal yang boleh membahayakan nyawa penonton dan petugas membenarkan mereka masuk walaupun tidak mempunyai tiket.

Selepas stadium mencapai tahap kapasiti, pintu sekali lagi ditutup sekali gus menghampakan beberapa penonton yang mempunyai tiket.

Polis Miami-Dade Police berkata 27 orang ditahan manakal 116 diberika rawatan perubatan.

Dalam samannya, Jaqueline mendakwa dia membeli empat tiket final Copa América bernilai A$4,395.59 (RM20,548).

"Walaupun mempunyai tiket sah, plaintif dilarang masuk susulan sejumlah besar penonton yang diragui meluru masuk sekali gus menimbulkan bahaya," katanya dalam satu kenyataan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 9:13 AM