KERETA Perodua Bezza dinaiki suspek yang ditemui di Ampang Jajar, Permatang Pauh.
KERETA Perodua Bezza dinaiki suspek yang ditemui di Ampang Jajar, Permatang Pauh.
Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Empat suspek kes samun jongkong dan rantai emas seberat 11 kilogram bernilai RM1.9 juta di sebuah kilang emas di Jalan Siram, di sini, kelmarin dipercayai berada di negeri ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) Supritendan Abd Aziz Daud berkata, polis kini menjalankan siasatan menyeluruh dan mengumpul segala petunjuk untuk memburu perompak terbabit.

Bagaimanapun, katanya, keadaan kilang itu yang tidak dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV) menyukarkan pihaknya mengenal pasti identiti suspek.

“Manakala CCTV yang terdapat berdekatan dengan kilang itu pula tidak menunjukkan gambaran jelas kejadian.

“Kami cuba mengumpul petunjuk dengan dibantu lakaran diceritakan mangsa di kilang berkenaan, sekali gus menjadi petunjuk untuk memberkas semua suspek terbabit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Sehubungan itu, Abd Aziz menggesa orang awam yang terserempak dengan individu dalam keadaan mencurigakan supaya menghubungi balai polis berhampiran untuk tindakan lanjut.

Dalam kejadian jam 9.45 pagi semalam, dua pekerja kilang emas itu yang membawa beg berisi jongkong dan rantai emas diserang tiga perompak bersenjatakan kapak dan tukul manakala seorang lagi perompak berada di dalam kereta.

Dalam kejadian itu, mangsa dikatakan mahu membawa jongkong dan rantai emas ke sebuah kilang emas di Kuala Lumpur dengan menaiki kenderaan pacuan empat roda, namun dirompak individu tidak dikenali.

Keempat-empat suspek kemudian melarikan diri menaiki kereta Perodua Bezza berwarna merah sebelum kenderaan itu ditemui di sebuah pangsapuri dekat Ampang Jajar, Permatang Pauh dalam keadaan but belakangnya remuk serta terdapat kesan tembakan di cermin penumpang belakang dan bumbung kereta.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2017 @ 6:27 AM