ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Butterworth. FOTO Ihsan PDRM
ANTARA dadah yang dirampas dalam serbuan di sebuah rumah di Butterworth. FOTO Ihsan PDRM
Zulfa Mohamad


DUA penagih gagal meloloskan diri melalui tingkap ketika rumah yang dijadikan tempat melepaskan gian di Jalan Permatang Pauh, Butterworth, diserbu polis, petang semalam.

Serbuan 6 petang membabitkan sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Prai Utara (IPDSPU) itu dilakukan hasil maklumat awam dan risikan.

Sebaik rumah berkenaan diserbu, dua penagih terbabit berusia 26 dan 48 tahun yang juga penganggur cuba melarikan diri melalui tingkap namun, sempat dihalang anggota polis dan berlaku pergelutan sebelum mereka berjaya ditahan.

Ketua Polis SPU Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, polis yang membuat pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar, satu keratan straw mengandungi dadah disyaki heroin dan satu keratan straw mengandungi dadah disyaki syabu.

Beliau berkata, dadah berkenaan untuk dijual kepada penagih sekitar pekan ini.

"Ujian air kencing kedua-dua suspek didapati positif dadah morfin dan amphetamine selain mempunyai rekod lampau berkaitan dadah.

"Suspek ditahan reman tujuh hari untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1) akta sama kerana memiliki dan memasukkan dadah dalam badan," katanya.

Noorzainy berkata, pihaknya memerlukan maklumat orang ramai mengenai kegiatan penagihan dadah di kawasan mereka bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 January 2018 @ 3:22 PM