UNIT K9 PDRM digunakan bagi mengesan bahan bukti sekitar lokasi di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. FOTO Asyraf Hamzah.
UNIT K9 PDRM digunakan bagi mengesan bahan bukti sekitar lokasi di ladang kelapa sawit di Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor. FOTO Asyraf Hamzah.
Amirul Aiman Hamsuddin


Hulu Selangor: Operasi pencarian bahan bukti bagi kes pembunuhan Nur Farah Kartini Abdullah di Sungai Trolak, Kampung Batu, Perak diteruskan lagi hari ini.

Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintendan Ahmad Faizal Tahrim berkata, polis akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada lokasi kedua itu dengan operasi bermula pada 10 pagi.

"Ya betul (tumpuan di Sungai Trolak). Fokus di sana," katanya ringkas ketika dihubungi.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada polis akan meneruskan siasatan di lokasi utama pembunuhan iaitu ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Bernam, Ahmad Faizal memaklumkan, ia bergantung kepada siasatan forensik.

Semalam, media melaporkan beg tangan wanita dipercayai milik Nur Farah Kartini, 25, ditemui ketika operasi pencarian bahan bukti.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan dilaporkan mengesahkan berhubung penemuan bahan bukti itu.

Sebelum itu beliau turut mengesahkan penemuan telefon pintar dipercayai milik mangsa.

Nur Farah Kartini ditemui mati di kawasan ladang kelapa sawit Kampung Sri Keledang, Hulu Selangor pada 6 petang, Isnin lalu. Susulan itu, polis menahan lelaki yang disahkan anggota polis berusia 26 tahun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 9:39 AM