OPERASI Carilamat diaktifkan selepas menerima maklumat kehilangan kru kapal kargo warga India, semalam. FOTO Ihsan APMM.
OPERASI Carilamat diaktifkan selepas menerima maklumat kehilangan kru kapal kargo warga India, semalam. FOTO Ihsan APMM.
Meor Riduwan Meor Ahmad


Melaka: Kru kapal kargo warga India dilapor hilang, dipercayai terjatuh ketika berlayar menuju Singapura, semalam.

Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Melaka, Kepten Maritim Mohd Khairi Abd Aziz berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada 11.10 pagi dan bot Perkasa 37 digerakkan susulan pengaktifan operasi mencari dan menyelamat (Carilamat).

Katanya, berdasarkan maklumat, mangsa dikenali Vishnu Babu, 25, dipercayai terjatuh di laut pada kedudukan 11.8 batu nautika Barat Daya Tanjung, Klebang.

"Keluasan sektor pencarian meliputi 43.5 kilometer persegi dan bot ronda RH 22 daripada Pasukan Polis Marin (PPM) turut membantu dalam pencarian ini.

"Setakat 7 malam semalam, tiada sebarang penemuan dan Carilamat disambung pada 8 pagi hari ini," katanya dalam kenyataan.

Beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Pusat Operasi Maritim Melaka dan Negeri Sembilan di talian 06-3876730 atau talian kecemasan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 9:07 AM