POLIS turut merampas pakaian digunakan suspek ketika melakukan khianat. FOTO Ihsan polis.
POLIS turut merampas pakaian digunakan suspek ketika melakukan khianat. FOTO Ihsan polis.
Ahmad Hasbi


Seremban: Suspek yang disyaki melakukan perbuatan khianat dengan mematahkan pengelap cermin kereta dekat Jalan Dataran Sentral 2, di sini, 10 Julai lalu, ditahan polis semalam.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, suspek yang berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira 2.30 petang di sekitar Port Dickson.

"Pada 10 Julai lalu, kami menerima satu laporan daripada seorang wanita Melayu mengatakan kereta jenis Perodua Alza miliknya yang diparkir dan ditinggalkan di lokasi mengalami kerosakan.

"Wanita itu mendakwa cermin hadapan dan kedua-dua belah cermin sisi pecah, manakala pengelap cermin hadapan serta belakang patah," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, kejadian itu dirakam kamera papan pemuka kereta mangsa yang menunjukkan seorang lelaki dipercayai warga tempatan melakukan perbuatan itu.

"Susulan video, pihak kami mengenalpasti suspek dan berjaya menahannya. Turut dirampas adalah sehelai baju berwarna biru yang dipercayai dipakai ketika kejadian," katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerama melakukan khianat ke atas harta orang lain dan permohonan reman terhadap suspek dibuat pagi ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Julai 2024 @ 8:44 AM