SEORANG lelaki menangis di atas botnya yang hanyut di perairan Thailand berhampiran Koh Lipe.
SEORANG lelaki menangis di atas botnya yang hanyut di perairan Thailand berhampiran Koh Lipe.
Reuters

Koh Lipe (Thailand): Pihak berkuasa Thai menemui lebih 100 pendatang asing tanpa izin (PATI) di sebuah pulau di selatan negara itu manakala ribuan lagi masih hanyut selepas bot mereka diusir semula ke laut Asia Tenggara berikutan beberapa negara lain mengabaikan seruan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk menyelaraskan usaha menyelamat.

Krisis itu timbul berikutan usaha Thailand yang mahu melumpuhkan kegiatan penyeludupan manusia menyebabkan penyeludup meninggalkan bot yang sesak dengan PATI dengan kebanyakan mangsa dilaporkan dahaga dan sakit di Laut Andaman.

Kawalan ketat itu menjadikan laluan penyeludupan menerusi Thailand terlalu berisiko untuk penjenayah yang mengambil kesempatan ke atas pelarian Muslim Rohingya yang melarikan diri daripada penganiayaan di Myanmar dan Bangladesh dalam usaha mencari kehidupan lebih baik.

Kira-kira 2,500 PATI mendarat di barat Indonesia dan pantai barat laut Malaysia sejak minggu lalu.

Menurut gabenor wilayah Phang Nga, Prayoon Rattanasenee, Thailand menemui 106 lagi PATI kelmarin di pantai di situ.

“Tidak diketahui bagaimana mereka sampai ke pulau itu. Kebanyakannya lelaki, tetapi ada juga wanita dan kanak-kanak.

Kami masih menyiasat untuk menentukan sama ada mereka mangsa penyeludup manusia,” kata Prayoon.

Dua bot yang menyeberangi Selat Melaka dari Thailand dihalau tentera laut Indonesia dan kelmarin, satu lagi bot ditunda tentera laut Thai.

Menurut Komander Veerapong Nakprasit, bot berkenaan ditunda kerana menghampiri perairan negara itu semalam, selepas menghala ke Indonesia dan Malaysia kelmarin.

Tentera laut Thai dan Indonesia mengisi semula bot yang dihalau dengan bekalan makanan dan air malah, mendakwa PATI berkenaan tidak mahu naik ke darat di wilayah mereka meskipun tiada arah tuju dan bukan pengemudi yang mahir.

PBB minggu ini menggesa beberapa negara memikul tanggungjawab menyelamatkan mereka yang berada di laut selain membuka sempadan serta laut mereka bagi membantu mangsa yang memerlukan.

PBB berkata, penghijrahan melalui laut di sepanjang Teluk Benggala akan berterusan melainkan Myanmar mengakhiri diskriminasi ke atas Rohingya.

Myanmar menggelar Rohingya sebagai Bengali, satu istilah yang ditolak oleh puak itu sendiri kerana sesuai untuk golongan dari Bangladesh, berikutan sudah menetap di negara itu sejak beberapa generasi.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 17 Mei 2015 @ 5:04 AM