Pasukan Polis Marin (PPM) Selangor menahan 34 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia dan Myanmar dalam Operasi Benteng di perairan laut Jeram, awal pagi semalam. FOTO IHSAN PPM SELANGOR
Pasukan Polis Marin (PPM) Selangor menahan 34 pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Indonesia dan Myanmar dalam Operasi Benteng di perairan laut Jeram, awal pagi semalam. FOTO IHSAN PPM SELANGOR
Amirul Aiman Hamsuddin


Kuala Selangor: Empat daripada 34 pendatang asing tanpa izin (Pati) yang ditahan dalam Operasi Benteng di perairan laut Jeram, dekat sini, awal pagi semalam, disahkan positif Covid-19.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Satu Pulau Pinang, Asisten Komisioner Shamsol Kassim berkata, pihaknya sebelum itu menerima maklumat berhubung kehadiran bot pom-pom membawa Pati di perairan laut Pulau Angsa pada 2.45 pagi.

"Dua bot ronda bergerak ke lokasi untuk mengesan dan membuat pintasan ke atas bot terbabit. Pada 3.15 pagi, bot dikesan di kawasan perairan laut Jeram pada jarak kira-kira 2.8 batu nautika dari pantai.

"Selepas dikejar selama 15 minit, bot terbabit ditahan manakala tekong bot dipercayai warga Indonesia terjun ke laut selepas menyedari kehadiran kami.

"Hasil pemeriksaan di dalam bot mendapati 34 Pati terdiri daripada 32 warga Indonesia dan dua warga Myanmar berusia 18 hingga 51 tahun," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, Pati dan bot pom-pom bernilai RM10,000 ditahan dan diiring ke Jeti PPM Selangor untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1985.

Menurutnya, empat Pati terbabit iaitu dua lelaki dan dua wanita disahkan positif selepas menjalani saringan Covid-19 di Pusat Saringan Ambang Botanik, Bukit Tinggi, Klang.

Katanya, berikutan itu, lapan anggota bot ronda PPM menjalani kuarantin selama 10 hari kerana menjadi kontak rapat kepada Pati terbabit.

"Siasatan awal mendapati bot terbabit berada di laut selama tiga hari sebelum masuk ke pesisir pantai Selangor.

"Ia berlepas dari Tanjung Balai Asahan, Indonesia dan hanyut di laut sementara menunggu arahan tekong darat untuk lokasi pendaratan.

"Mereka (Pati) memaklumkan membayar tiga juta Rupiah (RM877) untuk urusan dibawa masuk ke Malaysia semua mereka pernah bekerja di negara ini manakala dua warga Myanmar pula datang ke Malaysia untuk berjumpa keluarga di sini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 7 September 2021 @ 1:23 PM