VINOD (kiri) dan  Partiban dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, semalam.
VINOD (kiri) dan Partiban dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, semalam.

Seremban: Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Majistret dan Mahkamah Sesyen, di sini, semalam, atas tiga pertuduhan mengedar dadah dan memiliki senjata api, bulan lalu.

Di Mahkamah Majistret, M Vinod Kumar, 36, dan M Partiban, 28, didakwa bersama-sama mengedar dadah jenis heroin seberat 3.71 kilogram (kg) di tepi semak, Jalan 9 Taman Labu Jaya di sini, jam 2.55 petang, pada 27 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan kedua, mereka didakwa mengedar dadah jenis kanabis seberat dua kg di lokasi dan masa yang sama.

Bagi kedua-dua kesalahan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Siti Khairiah Abd Razak.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kaiyisah Shukri manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam M Gobinathan.

Di Mahkamah Sesyen, Vinod dan Partiban mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan terhadap pertuduhan memiliki senjata api.

Pengakuan itu dibuat sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim N Kanageswari.

Mengikut pertuduhan, mereka bersama-sama dengan niat memiliki senjata api dan menyalahi undang-undang di lokasi dan masa yang sama.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2015 @ 7:35 AM