Wei Sheng dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar.FOTO Alias Abd Rani
Wei Sheng dibawa keluar dari Mahkamah Sesyen Muar.FOTO Alias Abd Rani
Alias Abd Rani

[email protected].

Muar: Tukang masak dijatuhi hukuman penjara 246 bulan selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas kesalahan memiliki senjata api, pedang samurai serta dadah, empat tahun lalu.

Tan Wei Sheng, 30, berhadapan empat pertuduhan dengan tiga daripadanya berkaitan senjata api dan senjata tajam, membuat pengakuan selepas pertuduhan pilihan dibacakan di hadapan Hakim Irwan Suainbon.

Mengikut pertuduhan pilihan pertama dan kedua, dia didakwa memiliki senjata api iaitu sepucuk pistol jenis CZ 75 Compact CAL 9 Luger buatan Republik Czech dan enam butir peluru.

Kesalahan itu dilakukan berdekatan lampu isyarat di Jalan Pintasan Muar pada 3 pagi, 25 Januari 2020.

Bagi kesalahan ini, dia didakwa mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan pilihan ketiga pula, dia didakwa mengikut Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 (Akta 357) kerana memiliki pedang samurai dengan semua kejadian berlaku di tempat sama.

Untuk kesalahan ini, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga dua tahun dan juga sebatan.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman 66 bulan bagi setiap pertuduhan, namun memutuskan hukuman bagi kesemua pertuduhan itu berjalan serentak bermula dari tarikh sabitan iaitu hari ini.

Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Nur Sulehan Abd Rahma, manakala tertuduh diwakili peguam R K Bala.

Di Mahkamah Majistret pula, tertuduh berhadapan satu lagi pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana memiliki dadah iaitu heroin 19.13 gram (g), lima biji pil kuda (0.86g) dan Erimin 5 seberat 2.78g.

Dia yang mengaku bersalah kemudian dijatuhui hukuman penjara 48 bulan dengan hukuman berkuat kuasa dari tarikh ditangkap pada 25 Januari 2020.

Ini bermakna tertuduh hanya perlu menjalani hukuman penjara 66 bulan bagi kesemua empat pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 22 January 2024 @ 3:04 PM