Izz Laily Hussein


Johor Bahru: Dua beradik bersama suami masing-masing dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan mengedar dadah berbahaya seberat lebih 31 kilogram, minggu lalu.

Tertuduh, Siti Nurfatimah Sottor, 32, dan suami, Mohammad Raffi Yahya, 35 serta Siti Nurshafina Sottor, 24, dan suami, Afiq Aidi, 23, faham semua tuduhan dihadapi mereka, bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan.

Pendakwaan dibuat di hadapan Majistret Hidayatul Syuhada Shamsudin, namun bagi Mohammad Raffi, pertuduhan dibacakan di Hospital Sultanah Aminah (HSA) berikutan tertuduh dirawat di Wad Isolasi berikutan menghidap Covid-19 dan Tibi.

Berdasarkan tiga kertas pertuduhan itu, mereka bersama-sama didakwa mengedar kanabis seberat lebih 27.53 kilogram (kg), heroin (lebih 1.81kg) dan methamphetamine (lebih 1.94kg).

Bagi perbuatan yang dilakukan di No 28, Jalan Bestari 33/2, Taman Bestari Indah, Ulu Tiram, kira-kira j2 pagi, 19 September lalu itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 29 Januari 2024.

Di mahkamah sama, adik-beradik kepada Siti Nurfatimah dan Siti Nurshafina iaitu Muhammad Taufik Sallehudin Sottor, 30, didakwa bersama-sama seorang lagi lelaki, Mohamad Zaidi Sani, 34, mengedar methamphetamine dengan anggaran berat kasar 59.88 gram.

Mereka berdua yang turut didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) ADB 1952 turut berdepan satu lagi pertuduhan memiliki kanabis seberat 14.81 gram dan pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 6 ADB 1952, dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Dua perbuatan itu didakwa dilakukan di dalam rumah dekat Jalan Lading 10, Taman Puteri Wangsa, Ulu Tiram di sini, kira-kira 2.15 pagi, 19 September lalu.

Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 21 Disember depan.

Sementara itu, di hadapan Majistret R Salini, Siti Nurfatimah menghadapi tiga lagi pertuduhan iaitu mengedar 81 gram pil yaba dan 106 gram MDMA serta memiliki 665 gram ketamin di No 37, Jalan Gunung, Taman Gunung Emas, Ulu Tiram di sini, kira-kira 9.15 pagi, 19 September lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) dan Seksyen 12(2) ADB 1952 dan sebutan semula kes itu ditetapkan pada 8 November depan.

Sementara itu, Siti Nurfatimah dan Siti Nurshafina bersama suami masing-masing turut menghadapi dua lagi pertuduhan di Mahakamah Sesyen di sini, hari ini.

Dua beradik itu bersama Afiq mengaku tidak bersalah bagi dua pertuduhan berdagang senjata api iaitu empat pucuk pistol pelbagai jenis dengan satu magazine setiap pistol serta sepucuk revolver dan memiliki 136 butir peluru yang didakwa untuk digunakan bagi tujuan menyalahi undang-undang.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 33 Akta Senjata 1960 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Bagaimanapun, di hadapan Hakim VM Mabel Sheela, pertuduhan terhadap Mohammad Raffi tidak dibacakan dan mahkamah menetapkan 26 Oktober depan untuk pertuduhan dibuat terhadap lelaki itu selain sebutan semula kes bagi tiga tertuduh yang lain.

Semua pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Wong Zi Qian dan Nuraqiilah Ahmad Rofaie, manakala peguam Muhammad Abd Kadir mewakili keenam-enam tertuduh.

SITI Nurfatimah (tengah) dan Siti Nurshafina (dua dari kanan) bersama Afiq (kiri) ketika hadir di mahkamah. FOTO Nur Aisyah Mazalan
SITI Nurfatimah (tengah) dan Siti Nurshafina (dua dari kanan) bersama Afiq (kiri) ketika hadir di mahkamah. FOTO Nur Aisyah Mazalan

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 September 2023 @ 5:16 PM