Raja Noraina Raja Rahim


Seremban: Dua rakan dilepas dan dibebaskan tanpa dipanggil membela diri oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki senjata api, tahun lalu.

Hakim Siti Mariam Othman memutuskan demikian terhadap M Vinod Kumar, 37, dan M Partiban, 29, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama mengedar dadah jenis kanabis seberat 1.98 kilogram di tepi semak di Jalan 9, Taman Labu Jaya di sini, 2.55 petang pada 27 Mac tahun lalu.

Dakwaan terhadap mereka dibuat mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati, jika sabit kesalahan.

Selain itu, kedua-duanya turut didakwa mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 14 tahun dan enam sebatan, kerana memiliki senjata api di lokasi dan masa yang sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Hafizah Abdullah manakala Vinod Kumar diwakili Kee Wei Lon dan Ravindran Selvara serta Partiban diwakili G Subramaniam Nair dan S Devika.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 September 2016 @ 2:18 PM