Nur Izzati Mohamad


Butterworth: Tukang masak dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini selepas didapati bersalah memiliki dua butir peluru tanpa permit pada bulan lalu.

Majistret M Kalaiarasi menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Lukman Abdullah, 33 mengaku bersalah ketika pertuduhan dibacakan terhadapnya hari ini.

Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh yang masih bujang didakwa membawa dan memiliki dua butir peluru berwarna hijau jenis 12-70-32g (N2) tertera tulisan GB Club tanpa mempunyai lesen atau permit sah yang dikeluarkan Polis Diraja Malaysia (PDRM)

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah premis di Permatang Berangan, Tasek Gelugor, dekat sini, kira-kira jam 6.20 petang, pada 22 Januari lalu.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Asma' 'Amira Shahidani manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Ketika prosiding, Majistret memberi peluang kepada tertuduh untuk merayu dan membuat pilihan sama ada mahu dihukum denda atau penjara yang tertuduh memilih untuk dipenjara.

Dalam pada itu, tertuduh turut mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan serangan ke atas seorang lelaki warga Pakistan menggunakan sebilah pedang sepanjang 75 sentimeter yang dilakukan pada hari dan lokasi sama.

Lelaki itu didakwa melakukan kesalahan berkenaan mengikut Seksyen 352 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara sehingga tiga bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan.

Mahkamah menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes sementara menunggu laporan balistik manakala tertuduh dibenar diikat jamin sebanyak RM10,000

Di mahkamah sama juga, Lukman turut mengaku bersalah bagi dua pertuduhan lain iaitu memasukkan dadah jenis morfin dan methamphetamine ke dalam badannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Bahagian Siasatan Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seberang Perai Utara, Kepala Batas, dekat sini, pada 1.30 pagi, 23 Januari lalu.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Majistret membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 bagi kedua-dua pertuduhan itu sementara menunggu sebutan semula kes pada 31 Mac ini.

Sementara itu, Lukman turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini atas dua pertuduhan cuba membunuh lelaki warga Pakistan dengan menembak sebanyak satu das dengan senjata api jenis Steven 6400 Double Barrel dan memiliki senjata api berkenaan.

Tertuduh yang didakwa melakukan kesalahan itu mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan mengaku bersalah ketika kertas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Norhayati Mohamad Yunus.

Kes berkenaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Nada Harun manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, tertuduh tidak dibenarkan diikat jamin dan mahkamah menetapkan 31 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Februari 2022 @ 3:21 PM
LUKMAN ketika hadir di Mahkamah Butterworth di sini, hari ini. FOTO Danial Saad.
LUKMAN ketika hadir di Mahkamah Butterworth di sini, hari ini. FOTO Danial Saad.