Kuala Lumpur: Pemain trumpet, horn dan trombonet kumpulan era 70-an, Black Dog Bone (BDB) Masron Mat Ali meninggal dunia jam 4.30 pagi semalam di Hospital Changi, Singapura.

Berita kematian Allahyarham disahkan penyanyi kumpulan itu, Ishar Masrom atau lebih dikenali sebagai Razzi M di laman Facebook peribadinya.

“Kami kehilangan seorang sahabat yang sudah lama mengabdikan diri dalam seni dan banyak berjasa dalam mengharumkan nama BDB.

“Semoga kau tenang di sana sahabat,” tulisnya dalam medium itu semalam.

Difahamkan, Allahyarham, 71, mengalami radang paru-paru hingga menyebabkannya hilang suara sejak awal 2014.

Kumpulan yang ditubuhkan pada 1973 itu turut dianggotai Tahir Ali (Jatt), Hamid Ahmad, James Chai dan Michael Heng.

Antara lagu hit mereka adalah Bila Rindu, Releks, Joget Hati Jujur dan Jangan Lukakan Hati-Ku.

BDB dibubarkan pada 1981 selepas menghasilkan tujuh album.

Tambah Razzi, kematian Masron yang juga salah seorang penyanyi BDB adalah kehilangan seorang sahabat yang sukar dilupakan.

Menurut wakil syarikat rakaman Life Record di Singapura, Osman Ariffin, kali terakhir dia mendengar berita mengenai Allahyarham adalah mengenai penyakit radang paru-paru dialaminya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 Mac 2015 @ 9:13 AM