DR Zamberi (tiga dari kanan) ketika Pelancaran Inisiatif ‘Prevent Pneumococcal Pneumonia’ (PPP) di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini
DR Zamberi (tiga dari kanan) ketika Pelancaran Inisiatif ‘Prevent Pneumococcal Pneumonia’ (PPP) di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini
Hartini Mohd Nawi


Sempena Hari Pneumonia Sedunia tahun ini, enam badan profesional perubatan bersama-sama melancarkan Inisiatif 'Prevent Pneumococcal Pneumonia' (PPP) di Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.

Ia bertujuan menekankan kepentingan melindungi warga emas dan orang dewasa yang berisiko tinggi daripada jangkitan pneumokokus melalui vaksinasi.

Jangkitan pneumokokus adalah jangkitan yang sering menyebabkan radang paru-paru.

Ketika pelancaran, Pengerusi Inisiatif PPP, Profesor Dr Zamberi Sekawi menekankan radang paru-paru antara tiga penyebab kematian utama di Malaysia selama lebih dari satu dekad.

"Pada 2021, kira-kira satu daripada 10 kematian dalam kalangan lelaki dan wanita di Malaysia adalah disebabkan radang paru-paru.

"Bakteria pneumokokus adalah salah satu punca utama radang paru-paru dan menyumbang kepada kira-kira 27 peratus kes di seluruh dunia.

"Kanak-kanak, orang dewasa dan warga emas yang mempunyai masalah kesihatan berisiko lebih tinggi untuk mendapat jangkitan itu," katanya.

Kata beliau, antara aktiviti bagi meningkatkan kesedaran dalam kalangan orang awam pula termasuk kempen media sosial yang mengajak mereka untuk mendapatkan maklumat lanjut berkenaan penyakit radang paru-paru pneumokokus dan cara pencegahannya.

Ketua Kepakaran Perubatan Am, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Cheah Wee Kooi pula berkata, vaksinasi tidak hanya melindungi individu daripada penyakit, tetapi juga mengurangkan risiko rintangan antimikrob.

"Kajian menunjukkan bahawa bakteria pneumokokus di Malaysia sering rintang terhadap antibiotik.

"Oleh itu, KKM sudah memberikan vaksinasi pneumokokus kepada semua kanak-kanak Malaysia yang dilahirkan pada tahun 2018 ke atas.

"Selain itu, kerajaan menyediakan pelepasan cukai sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan vaksinasi bagi individu itu sendiri, pasangan mereka atau anak mereka," katanya.

Sementara itu, Pengerusi Bersama PPP, Profesor Madya Dr Pang Yong Kek berkata, sudah tiba masanya untuk orang ramai mengetahui bahawa orang dewasa yang berisiko tinggi juga memerlukan vaksinasi.

Dr Pang
Dr Pang

Beliau turut meluahkan penghargaan kepada syarikat farmaseutikal atas sokonganberterusan mereka terhadap usaha badan profesional untuk meningkatkan kesedaran berkenaan pencegahan penyakit pneumokokus dalam kalangan orang dewasa.

"Sebagai pakar perubatan respiratori, saya sentiasa menggalakkan pesakit untuk mendapatkan vaksin terhadap penyakit pneumokokus.

"Hal ini kerana orang dewasa yang menghidap penyakit paru-paru obstruktif kronik (COPD) adalah sembilan kali ganda, manakala warga emas yang menghidap asma pula hampir enam kali ganda lebih berkemungkinan untuk mendapat radang paru-paru pneumokokus berbanding rakan sebaya yang sihat," katanya.

Bagi doktor penyakit berjangkit dan wakil Persatuan Kawalan Jangkitan dan Penyakit Berjangkit Malaysia (MyICID), Dr Azureen Azmel, selain mereka yang mempunyai masalah paru-paru, orang dewasa yang mempunyai sistem imun lemah juga berisiko tinggi mendapat radang paru-paru pneumokokus. Mereka amat digalakkan untuk mendapatkan vaksinasi.

"Mereka termasuklah pesakit HIV dan pesakit yang menghidap kanser berkaitan dengan darah serta orang dewasa yang menjalani pemindahan organ atau sedang mengambil ubat tertentu seperti terapi steroid dalam dos berpanjangan atau tinggi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 January 2024 @ 6:11 AM