AHMAD Fathan
AHMAD Fathan

Kota Bharu: PAS semalam mengumumkan imam Ahmad Fathan Mahmud, 42, sebagai calon mewakili parti itu bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chempaka, 22 Mac ini.

Pengumuman itu dibuat Naib Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man di Pusat Tarbiyah Islamiah Kelantan (PUTIK), Pengkalan Chepa di sini, semalam.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Kelantan Datuk Ahmad Yakob dan pimpinan kanan PAS Kelantan.

Tuan Ibrahim berkata, Ahmad Fathan adalah Imam Masjid Baung, di sini, yang juga Bendahari PAS Kawasan Pengkalan Chepa.

Katanya, Ahmad Fathan lepasan pengajian Islam dari Universiti Al-Azhar, Mesir dan memenuhi semua kelayakan termasuk disenangi pengundi di kawasan itu.

“Beliau melepasi semua tapisan ditetapkan kepemimpinan Pusat dan diterima Majlis Syura.

“Beliau calon yang baik dan diyakini boleh memenuhi tanggungjawab ditinggalkan arwah Tok Guru,” katanya.

Ahmad Fathan dipilih daripada tiga calon dikemukakan PAS Kelantan termasuk peguam syarie Nik Baharom Nik Abdullah yang juga Ahli Jawatankuasa Teknikal Hudud Negeri.

PRK DUN Chempaka diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 Mac 2015 @ 7:44 AM