Seremban: Seorang suri rumah yang sedang membersihkan halaman rumahnya di Kampung Jiboi Baru, Ampangan, di sini, bukan saja dikepung sekumpulan empat lelaki, malah gelang emas dipakainya turut diragut, petang kelmarin.

Berikutan kejadian itu, Normah Othman, 51, kerugian RM4,000 selain sakit pada pergelangan tangan kanan dan belakang badan.

Sebelum kejadian jam 7 petang itu, mangsa ditemani dua anak berusia 13 dan 15 tahun membersihkan halaman rumah sebelum didatangi empat lelaki.

“Saya melihat empat lelaki berusia 20-an menunggang dua motosikal berlegar depan rumah.

“Saya tidak mengesyaki perkara buruk dan hanya menyangka mereka sedang mencari rumah seseorang. Mereka berpatah balik dan memberhentikan motosikal berhampiran saya,” katanya.

Katanya, mereka mengepungnya dan seorang daripada suspek itu merentap gelang emas dipakainya menyebabkan dia menjerit.

“Dua anak saya itu tidak sempat berbuat apa-apa kerana kejadian berlaku terlalu pantas. Malah, ketika kejadian adik ipar saya melalui rumah saya menyebabkan suspek panik dan melarikan diri,” katanya yang membuat laporan kejadian itu di Balai Polis Paroi, di sini.

Normah berkata, dia kerugian RM4,000 selepas gelang emas dilarikan suspek, namun bersyukur tidak cedera serius.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seremban Asisten Komisioner Muhamad Zaki Harun ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan dan siasatan masih dijalankan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 Mac 2015 @ 8:41 AM