TANGKAP layar rakaman kejadian di Taman Tuanku Jaafar di sini, Jumaat lalu. FOTO Ihsan Pembaca
TANGKAP layar rakaman kejadian di Taman Tuanku Jaafar di sini, Jumaat lalu. FOTO Ihsan Pembaca
Ahmad Hasbi


Seremban: Polis kini sedang memburu dua lelaki bersenjatakan parang disyaki terbabit dalam kejadian samun seorang wanita warga emas di hadapan sebuah rumah di Taman Tuanku Jaafar di sini, Jumaat lalu.

Kejadian kira-kira jam 11.30 pagi itu menyebabkan mangsa mengalami kerugian dianggarkan bernilai RM5,000 dan video kejadian itu turut tular di media sosial yang memaparkan kedua-dua suspek menaiki motosikal serta bertopi keledar.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kejadian membabitkan seorang wanita berusia 68 tahun yang sedang menjemur kain di hadapan pagar rumahnya.

"Mangsa didatangi dua suspek lelaki yang menaiki motosikal jenis Kawasaki RR berwarna biru. Salah seorang suspek turun daripada motosikal dengan membawa parang lalu mengacukan senjata itu ke arah mangsa.

"Mangsa kemudiannya dipaksa menanggalkan cincin dan gelang tangan emas yang dipakai pada tangan kirinya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Nanda berkata, mangsa yang terlalu takut terus menanggalkan cincin emasnya manakala gelang pula direntap suspek kerana ia sukar ditanggalkan sebelum kedua-dua lelaki itu beredar.

"Mangsa tidak menjerit meminta bantuan kerana terlalu takut dan tiada jiran yang nampak kejadian berlaku," katanya.

Menurut Nanda, mangsa mengalami kecederaan ringan pada pergelangan kiri akibat gelang tangan emasnya yang direntap dan mengalami kerugian dianggarkan RM5,000.

"Tempat kejadian adalah kawasan perumahan teres setingkat. Kejadian berlaku di hadapan pagar rumah mangsa dan terdapat CCTV di rumah jiran mangsa.

"Mangsa tinggal bersama suami, seorang anak perempuan, seorang menantu dan tiga cucu. Bagaimanapun, ketika kejadian berlaku hanya mangsa yang berada di rumah.

"Hasil semakan rakaman CCTV mendapati suspek berbadan kurus, memakai topi keledar warna gelap dan pelitup muka," katanya.

Tambah beliau, polis kini masih giat memburu kedua-dua suspek dan kes disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan iaitu melakukan samun bersenjata.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 April 2022 @ 12:40 PM