PASUKAN penyelamat Indonesia bersedia berlayar untuk menyelamatkan mangsa  di Pelabuhan Panglima Utar Kumai, Pangkalan Bun, semalam.
PASUKAN penyelamat Indonesia bersedia berlayar untuk menyelamatkan mangsa di Pelabuhan Panglima Utar Kumai, Pangkalan Bun, semalam.

Laut Jawa: Terpaksa ‘mengejar’ mayat mangsa. Itu situasi ditempuh pasukan mencari dan menyelamat daripada Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di lokasi penemuan mayat mangsa pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 di sini, semalam.

Situasi itu berikutan laut bergelora dengan ombak setinggi lebih tiga meter, sekali gus menyebabkan bot yang dinaiki anggota penyelamat terumbang-ambing dan menyukarkan tugas mengambil mayat.

Komandan Kapal Perang Republik Indonesia (KRI) Banda Aceh Leftenan Kolonel Arief Budiman berkata, walaupun proses pemindahan sangat sukar, pihaknya tetap berusaha sedaya upaya untuk mengumpul mayat mangsa sebelum dipindahkan ke pelabuhan Pangkalan Bun.

“Goyangan dalam kapal terasa cukup dahsyat. Ombak itu juga membuatkan mayat mangsa terumbang-ambing sehingga harus dikejar untuk membolehkan ia diangkut ke kapal.

“Kuatnya arus begitu terasa dari dalam kapal. Goncangan kapal begitu kuat, hingga isi kapal bergoyang. Kuatnya goncangan ini cukup membuat perut mual dan kepala pening.

“Proses untuk mengesan dan mengambil mayat agak sukar, namun kegigihan anak kapal berhasil mengumpulkan satu persatu mayat yang ditemui,” katanya sebagaimana dilaporkan portal berita Detik.com.

Menurutnya, setakat ini, 10 mayat mangsa sudah ditemui terapung di lokasi penemuan mayat pertama kelmarin selain puluhan objek, termasuk serpihan pesawat yang terapung.

Arief berkata, semua mayat berkenaan dikumpulkan di KRI Banda Aceh yang memiliki dek untuk landasan helikopter.

“Jika ada kumpulan burung di permukaan laut, ia juga tanda ada mayat terapung di sekitar kawasan itu. Itu juga tanda yang digunakan penyelamat untuk mengetahui lokasi mayat,” katanya.

Menurutnya, walaupun operasi sukar, anggota penyelamat yang menggunakan KRI Yos Sudarso berjaya menjumpai mayat seorang lelaki dan pramugari dikenali sebagai Khairunnisa Haidar Fauzi.

Selain itu, KRI Hasanuddin menjumpai satu mayat yang belum dikenal pasti manakala KRI Bung Tomo memindahkan tiga mayat.

Bagi TLDM yang menghantar tiga kapal bagi mencari dan menyelamat, KD Lekir menemui satu mayat mangsa lelaki manakala KD Pahang pula menemui tiga maya.

Panglima TLDM Tan Sri Abdul Aziz Jaafar berkata, beliau memuji kegigihan anggota pasukan keselamatan negara yang berusaha sebaik mungkin untuk membantu misi memindahkan mayat mangsa.

“Kegigihan dan kesungguhan harus dipuji, mereka sanggup mengharungi cuaca buruk untuk mengambil jasad mangsa. Operasi ini sangat mencabar berikutan ombak yang tinggi dan hujan tanpa henti,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 8:32 AM