Dua bot yang dipercayai membawa pelarian Rohingya berpatah balik ke perairan Thailand - Ihsan KD Ledang
Dua bot yang dipercayai membawa pelarian Rohingya berpatah balik ke perairan Thailand - Ihsan KD Ledang
Oleh Amir Abd Hamid


Langkawi: Bimbang ditahan, dua bot dipercayai membawa pelarian Rohingya yang cuba menghampiri kawasan perairan utara Malaysia kira-kira 9.30 pagi tadi, berpatah balik ke perairan Thailand.

Kehadiran bot itu dikesan kapal Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) KD Ledang yang melakukan rondaan berdekatan kawasan pencarian di utara sektor F perairan Langkawi di Selat Chinchin.

Pegawai Memerintah KD Kasturi Kepten Sharum Shaim berkata, dua bot mencurigakan itu berpatah balik mungkin selepas menyedari kehadiran kapal TLDM.

"Saya dimaklumkan kehadiran dua bot itu oleh Pegawai Memerintah KD Ledang Leftenan Komander Ismail Karsin.

"KD Kasturi yang sedang melakukan rondaan di sektor G kemudian segera ke sektor D, E dan F untuk bersiap sedia membantu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan taklimat Op Sekat di KD Kasturi kepada media yang mengikuti misi kemanusiaan TLDM untuk pelarian Rohingya.

Misi kemanusiaan ini dilakukan selepas menerima maklumat masih ada pelarian Rohingya terkandas dalam bot di tengah laut.

Pada 10 Mei lalu, seramai 1,158 pendatang termasuk wanita dan kanak-kanak Bangladesh serta pelarian Rohingya dari Myanmar mendarat secara haram dengan bot di Langkawi, Kedah yang dilaporkan jumlah terbesar setakat ini.

Laporan media mendakwa terdapat lebih 8,000 pendatang Rohingya dan Bangladesh masih berada di laut dalam usaha mereka untuk masuk secara haram ke Malaysia, Indonesia dan Thailand.

Sharum berkata, radius keluasan pencarian membabitkan sektor A, B, C, D, E, F, G dan H ialah 1959.75 batu nautika persegi.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2015 @ 4:27 PM