Oleh Mohd Fadly Samsudin

Kajang: Seorang pegawai kanan sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di sini, kerugian wang tunai sebanyak RM1,350 selepas menjadi mangsa jenayah ‘silap mata’ seorang lelaki Timur Tengah.

Dalam kejadian jam 2 petang kelmarin, mangsa berusia 54 tahun tidak menyedari wang miliknya dilarikan penjenayah ketika dia sedang berurusan di sebuah bank di sini.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Ab Rashid Ab Wahab berkata, mangsa ketika itu sedang beratur untuk memasukkan wang tunai RM3,000 dalam mesin deposit tunai.

“Bagaimanapun seorang lelaki beratur di sebelahnya menegur supaya memasukkan wang itu dengan cara betul.

“Lelaki dipercayai keturunan Arab berusia 30-an itu tiba-tiba menghampiri mangsa dan mengambil wang daripada tangan mangsa,” katanya.

Menurutnya, suspek lelaki itu kemudian bertindak seolah-olah sedang membetulkan lipatan wang itu.

“Bagaimanapun dia terkejut apabila mendapati wang yang dimasukkan ke dalam mesin itu hanya RM1,650 berdasarkan resit diperolehi. Kes itu kini disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 8 January 2015 @ 6:55 AM