Gambar hiasan
Gambar hiasan
BERNAMA

Kuantan: Seorang anggota keselamatan membuat laporan polis mendakwa kerugian RM1,350 selepas diperdayakan dalam urusan membeli empat keping emas menerusi laman sosial, minggu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Pahang Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, mangsa berusia 34 tahun mendakwa berurusan dengan suspek lelaki pada 16 Oktober lalu, berhubung pembelian itu menerusi nombor WhatsApp pada iklan berkenaan.

"Mangsa mendakwa sudah membuat bayaran penuh kepingan emas itu menerusi transaksi pemindahan wang dalam talian, dan menerima nombor penjejak penghantaran pada 17 Oktober lalu.

"Bagaimanapun, semakan mangsa di laman web syarikat penghantaran itu pada 19 Oktober mendapati, nombor penjejak itu bagi penghantaran barangan ke Kepong, Kuala Lumpur," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa cuba mendapatkan penjelasan daripada suspek, namun suspek mendakwa sedang sibuk dan akan menyemak perkara itu kemudian, sebelum mendapati dirinya telah disekat daripada menghubungi nombor WhatsApp itu.

Sehubungan itu, mangsa membuat laporan di Balai Polis Temerloh, semalam, dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh didenda, jika sabit kesalahan.

Pada kes berasingan, seorang guru wanita berusia 45 tahun mendakwa kerugian RM7,950 selepas diperdayakan rakan kenalan media sosial yang dikenalinya sejak bulan lalu, yang dikatakan mahu menghantar hadiah perkenalan kepadanya.

Mangsa mendakwa suspek yang dikenali menerusi aplikasi Facebook Messenger memaklumkan akan menghantar barangan berjenama dan wang tunai RM25,000 dari luar negara pada 13 Oktober lalu.

"Lima hari selepas itu, mangsa mendakwa menerima pesanan daripada suspek mendakwa dia perlu membayar kos penghantaran bernilai RM3,750, sebelum diminta menjelaskan pelbagai bayaran lain sehingga akhirnya mencapai jumlah RM7,950," katanya.

Mohd Wazir berkata, mangsa mendakwa membuat bayaran itu menggunakan mesin deposit tunai sebuah bank mulai 18 hingga 20 Oktober lalu, sebelum menyedari dirinya diperdayakan sindiket 'African Scam'.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Oktober 2020 @ 1:21 PM