TONY tiba di Pusat Operasi mencari mangsa pesawat AirAsia QZ8501 di lapangan terbang di Pangkalan Bun, semalam.
TONY tiba di Pusat Operasi mencari mangsa pesawat AirAsia QZ8501 di lapangan terbang di Pangkalan Bun, semalam.

Surabaya: “Saya gembira kerana CEO AirAsia (Tan Sri Tony Fernandes) sudi datang ke rumah dan menzahirkan keprihatinan beliau terhadap apa yang berlaku,” kata Widiya Sukati Putri, isteri kepada juruterbang pesawat AirAsia Indonesia QZ8501, Kapten Iriyanto.

Menurut laporan berita Surabayanews.co.id, Widiya turut merancang mengikuti Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (BASARNAS) Indonesia dalam operasi pencarian.

Widiya yang ditemui di kediamannya berkata, dia sedikit lega dan sudah menerima ketentuan takdir apabila beberapa serpihan pesawat itu sudah ditemui.

“Saya masih berharap suami dapat ditemui dengan selamat tanpa sebarang kecederaan,” katanya.

Iriyanto disifatkan sebagai juruterbang berpengalaman dan sudah banyak mengendalikan pesawat komersial dan tempur seperti F-16, malah menjadi juruterbang Adam Air.

Sementara itu, BASARNAS menggesa masyarakat supaya tidak menyebarkan gambar mayat nahas melalui media sosial.

Timbalan Operasi BASARNAS, Mejar Jeneral Tentera Nasional Indonesia (TNI) Tatang Zaenuddin berkata, sejak penemuan beberapa jasad, terdapat pihak tidak bertanggungjawab menyebarkan foto menggunakan media sosial.

“Seharusnya mereka peka dan prihatin dengan perasaan keluarga mangsa. Berilah ruang kepada keluarga mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 8:13 AM