JAKARTA: Keadaan cuaca di lokasi pencarian pesawat AirAsia Indonesia QZ8501 dilaporkan agak teruk dan ketinggian ombak juga mencapai sekitar 3 hingga 4 meter.

Timbalan Operasi Badan SAR Nasional (BASARNAS) Tatang Zainudin berkata, ketinggian ombak mencapai 2 hingga 2.5 meter pada 7 pagi tadi.

"Pada 1 petang nanti dijangka ombak akan mencapai hampir tiga meter dan 7 malam pula mungkin mencapai 4 meter.

"Selain itu, kelajuan angin di lokasi pencarian juga mencapai 40 knot. Itu cukup kencang," katanya.

Hari ini, pasukan BASARNAS akan mendapatkan bantuan dari kapal milik Amerika Syarikat (AS) untuk mencari jasad penumpang pesawat terbabit dan kapal itu dikatakan hampir tiba ke lokasi.

Semalam, proses pemindahan jasad terus dilakukan pasukan SAR dan cuaca buruk menjadi halangan paling besar dalam usaha pencarian itu.

Ketua BASARNAS FHB Soelistyo berkata, pasukan SAR terpaksa bertarung nyawa untuk membawa semua tujuh jasad yang ditemui sekitar perairan Pangkalan Bun, Kalimantan Tengah. - Kompas.com

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 12:49 PM