Jakarta: Penggera amaran dalam pesawat AirAsia QZ8501 berbunyi kuat ketika juruterbang cuba menstabilkan pesawat sebelum ia terjunam ke dalam laut, kata seorang penyiasat kemalangan kepada AFP.

Bunyi penggera amaran itu boleh didengari melalui rakaman kotak hitam dari dalam kokpit Airbus A320-200 itu, kata penyiasat yang tidak mahu namanya disiarkan.

"Penggera amaran itu boleh dikatakan berbunyi dengan amat kuat dan dapat didengari suara latar belakang (juruterbang dan pembantu juruterbang) sibuk untuk menenangkan keadaan," katanya.

Penyiasat daripada Jawatankuasa Kebangsaan Keselamatan Pengangkutan Indonesia (NTSC) itu menambah suara juruterbang ditenggelami oleh bunyi penggera yang kuat.

Pendedahan itu dinyatakan selepas Menteri Pengangkutan Indonesia, Ignasius Jonan berkata, pesawat itu mendongak dalam keadaan yang luar biasa ketika ribut dalam penerbangan dari Surabaya ke Singapura sebelum terjunam ke dalam laut.

"Pada minit terakhir, pesawat itu mendongak pada kelajuan yang luar biasa," kata menteri itu kepada pemberita.

Pesawat QZ8501 terhempas di Laut Jawa dengan 162 penumpang dan kru, dan setakat ini hanya 53 mayat dijumpai.

Ketua Jawatankuasa, Tatang Kurniadi berkata, laporan awal mengenai kejadian itu akan siap pada Selasa, sebulan selepas kemalangan.

Beliau berkata, laporan penuh tidak akan didedahkan kepada umum, namun pihak media akan diberitahu sebahagian besar kandungannya. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 21 January 2015 @ 8:43 PM