Kuala Lumpur: Seorang janda yang dipercayai menipu peniaga emas terpakai membabitkan kerugian RM50,000 akhirnya diberkas polis di satu lokasi di Pantai Dalam, di sini, pada 26 November lalu.

Menurut sumber, wanita berusia 46 tahun itu ditahan selepas pihak polis menerima maklumat risikan dibantu keterangan yang diberikan mangsa.

Sumber berkata, hasil soal siasat ke atas wanita terbabit mendapati suspek turut membeli emas palsu itu daripada seorang lelaki berusia 40-an yang turut diburu pihak berkuasa bagi membantu siasatan.

“Mungkin ada sindiket bertanggungjawab menjual barangan emas palsu kepada wanita berkenaan sebelum dia memperdayakan mangsa.

“Pihak polis mengesan sindiket berkenaan bagi mengelakkan lebih banyak kes penipuan emas terhadap orang ramai mahupun peniaga emas,” kata sumber.

Harian Metro pada 20 November lalu melaporkan seorang lelaki yang mahu dikenali sebagai Mohd Hisham mendakwa ditipu suspek selepas mengenali wanita terbabit daripada seorang rakan perniagaan yang memberitahu terdapat individu yang ingin menjual emas miliknya yang disimpan di dalam premis Ar-Rahn.

Mangsa yang tidak mengesyaki unsur penipuan wanita terbabit segera membayar RM50,000 membabitkan 10 gelang tangan dan tiga cincin pelbagai bentuk yang disimpan suspek di empat lokasi Ar-Rahn berbeza di sekitar Lembah Klang sebelum menyedari ditipu sebaik rakan mangsa menjalankan ujian asid ke atas barangan kemas berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Disember 2014 @ 9:47 AM