MOHD Kamil (dua dari kiri) menyerahkan watikah perlantikan Adiguru Kraf 2014 kepada Kelthom sambil diperhatikan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan, Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman (dua dari kanan), semalam.
MOHD Kamil (dua dari kiri) menyerahkan watikah perlantikan Adiguru Kraf 2014 kepada Kelthom sambil diperhatikan Pengerusi Jawatankuasa Kebudayaan, Pelancongan dan Warisan Kelantan, Mejar (B) Md Anizam Ab Rahman (dua dari kanan), semalam.

Kota Bharu: “Ini satu pengiktirafan tertinggi buat saya selepas 58 tahun menceburi industri songket. Syukur,” kata Kelthom Hussein, 68, yang dilantik sebagai Adiguru Kraf 2014 oleh Kraftangan Malaysia, semalam.

Pelantikan Kelthom membolehkan wanita itu berkongsi kepakarannya dalam tenunan songket dan menurunkan ilmu kepada orang ramai.

Menurutnya, dia menceburi bidang itu sejak berusia 10 tahun lagi apabila diajar arwah ibunya Che Minah Omar mengenai cara menenun dengan betul.

Katanya, sejak itu dia aktif menenun dan turut menjual hasil kerja tangannya sehingga membolehkan mereka sekeluarga membuka perniagaan sendiri dikenali Che Minah Songket dan Batik.

“Saya dibantu adik lelaki Ahmad Kamil berusia 55 tahun, malah seorang daripada lima anak saya juga turut menyertai bidang ini dan memfokus kepada urusan perniagaan.

“Dengan pelantikan ini, saya sedia mencurahkan ilmu dan kepakaran saya kepada sesiapa yang berminat terutama generasi muda supaya seni warisan nenek moyang kita tidak pupus ditelan zaman.

“Kalau boleh biarlah ada usahawan muda menyertai bidang ini, bukan hanya generasi lama seperti kami saja,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani dan Menerima Watikah Pelantikan Adiguru Kraf 2014 di Wisma Che Minah Songket dan Batik di Kampung Penambang di sini, semalam.

Majlis penyerahan itu disempurnakan Ketua Pengarah Kraftangan Malaysia Datuk Mohd Kamil Mohd Ali.

Kelthom berkata, bagi menyemai rasa kecintaan generasi muda terhadap songket, syarikatnya turut mengambil tiga pelajar institut pengajian tinggi untuk menjalani latihan industri di situ.

“Dari situ mereka akan didedahkan mengenai kemahiran menghasil produk songket. Kini lebih ramai lagi yang boleh diserap ilmu itu,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Kamil dalam sidang media berkata, pemilihan Kelthom adalah berdasarkan kemahirannya menenun songket dan pengalaman yang diwarisi sejak genarasi ke genarasi.

Katanya, pelantikan berkuatkuasa sehingga 2019 dan dalam tempoh itu akan mengikuti program bersama pelajar Institut Kraf Negara untuk berkongsi ilmu selain aktiviti lain.

“Ketika ini ada 49 adiguru pelbagai produk kraf. Industri ini mendapat sambutan menggalakkan malah hasil jualannya mencecah RM440 juta sejak Januari hingga 31 Oktober lalu,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 6:03 AM