(DARI kiri) Azizah, Halidan, Jelitah @ Julitah, Kamarul Faizy dan Maznah
(DARI kiri) Azizah, Halidan, Jelitah @ Julitah, Kamarul Faizy dan Maznah
Suliati Asri


Johor Bahru: Lima pengusaha kraf yang komited menghasilkan produk kraf berkualiti tinggi, memelihara, memulihara serta melindungi warisan budaya menerima watikah pelantikan sebagai Adiguru Kraf dalam bidang masing-masing pada Sesi Walkabout Festival Kraf Johor (FKJ) 2023 di Padang Akasia, Angsana Johor Bahru Mall, baru-baru ini.

Mereka ialah Azizah Adam sebagai Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas, Maznah Anak Unyan (Adiguru Kraf Anyaman Mah Meri), Jelitah@Julitah Kulinting (Adiguru Kraf Anyaman Buluh), Kamarul Faizy Roslan (Adiguru Kraf Kaca Kristal) dan Halidan Ithnin sebagai Adiguru Kraf Gambus.

Pengiktirafan Adiguru Kraf yang mula dilaksanakan Kraftangan Malaysia pada 1987 bertujuan mengiktiraf pengusaha kraf yang mempunyai tahap kepakaran tinggi dalam bidang penciptaan dan pertukangan produk kraf yang beridentiti tempatan dan berperanan penting dalam usaha memelihara seni kraf negara.

Lantikan itu juga bertujuan memperkukuhkan pembabitan pengusaha kraf berkemahiran tinggi dalam penghasilan produk dan pengembangan ilmu secara berterusan ke arah kelestarian industri kraf negara yang bernilai tinggi.

Pengiktirafan ini sekali gus mengukuhkan imej dan peranan tokoh sebagai pakar rujuk bagi memartabatkan seni kraf negara di peringkat nasional dan antarabangsa.

Sehingga kini, seramai 71 usahawan kraf sudah dilantik dan daripada jumlah itu, 37 masih aktif, lima tidak aktif dan 29 sudah meninggal dunia.

Penyampaian watikah pelantikan itu disempurnakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Mohd Yusri Mohd Yusoff.

Hadir sama, Ketua Pengarah Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia), 'Ainu Sham Ramli.

Berkemahiran dalam semua teknik dan penghasilan produk kraf tekatan warisan dan kontemporari melayakkan Azizah, 63, diiktiraf sebagai Adiguru Kraf Tekatan Benang Emas (Perak) iaitu kraf warisan negeri Perak yang diperbuat daripada benang emas dan kain jenis baldu.

Mula mempelajari kraf tekatan benang emas sejak usia 19 tahun dan berguru dengan Tokoh Kraf Negara 2018, motif-motif warisan yang lazim digunakan Azizah dalam penghasilan produk kraf tekatan adalah bunga kekwa, bunga raya, bunga ros dan bunga padi.

Adiguru Kraf Anyaman Mah Meri (Selangor) diberikan kepada anak jati Kampung Orang Asli Sungai Bumbun, Pulau Carey, Selangor, Maznah Anak Unyan, 55, yang mula berkecimpung dalam bidang anyaman sejak berusia 12 tahun dan kekal aktif menjadi ketua dalam komuniti kraf anyaman Kaum Mah Meri hingga kini.

Maznah mempunyai pengalaman luas dalam penghasilan produk kraf anyaman halus dan sering mempromosikan produk kraf warisan hingga ke peringkat antarabangsa.

Perintis terawal kepada inovasi dalam penghasilan produk baharu anyaman buluh di negeri Sabah, Jelitah@Julitah Kulinting, 57, dilantik sebagai Adiguru Kraf Anyaman Buluh.

Anyaman buluh yang dihasilkan di Kampung Batu Lunguyan, Keningau masih mengekalkan penggunaan motif warisan daripada etnik Dusun dan Murut.

Selain itu, setiap motif yang dihasilkan diinspirasikan daripada olahan flora dan fauna serta kisah hidup si penganyam itu sendiri seperti nandus-andus, pinaku paku, pinuru langsat, nurugan, kolobon dan binulan.

Anak kelahiran Batu Pahat, Johor yang kini menetap di Langkawi, Kedah, Kamarul Faizy Roslan, 53, menerima pengiktirafan sebagai Adiguru Kraf Kaca Kristal (Kedah).

Mula mempelajari teknik penghasilan kraf kaca kristal di New Zealand ketika berusia 21 tahun. Kamarul kini antara pelopor yang kekal aktif mengusahakan kraf kaca kristal sebagai produk identiti Langkawi.

Kepakarannya dalam membentuk produk menggunakan teknik tiupan (glass blowing) menjadi keunikan dan tarikan dalam penghasilan produk kraf kaca kristal.

Adiguru Kraf kelima diberikan kepada Adiguru Kraf Gambus (Johor), Halidan Ithnin, 57, yang juga satu-satunya pembuat gambus sepenuh masa di negeri itu.

Halidan komited menghasilkan produk kraf berkualiti tinggi dan sentiasa mempromosikan produk kraf gambus sebagai alat muzik tradisi Johor.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 22 Disember 2023 @ 11:22 AM