Noor Hidayah Tanzizi

Bota: "Saya mahu terus mengekalkan pembuatan songket tenun secara tradisional kerana warisan ini perlu dipelihara selain masih ada permintaan," kata Faridatul Azna Shoib.

Faridatul Azna, 52, terbabit dalam kerja penenunan songket yang membabitkan proses rumit serta memerlukan kepakaran, minat dan kesabaran tinggi.

Faridatul Azna berkata, dia belajar seni tenunan di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia di Kedah pada 1993 selama dua tahun.

"Pada mulanya, saya mahu belajar seni tekat yang terkenal sebagai hasil kerja tangan di Perak tetapi saya ditawarkan kursus tenunan.

"Walaupun sukar tetapi saya tetap bersemangat dan menganggap ia sebagai peluang terakhir untuk mendapatkan ilmu warisan," katanya ditemui di Kampung Masjid Lama, Bota Kanan.

Katanya, seni warisan yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas itu masih terus mendapat permintaan, terutama daripada peminat koleksi songket.

"Harga bagi tempahan songket ini pula bermula daripada ratusan sehingga ribuan ringgit, ia berdasarkan reka bentuk dan corak yang dimahukan pelanggan.

"Saya ambil tempahan di sekitar kawasan ini saja namun ia agak berkurangan akibat pandemik Covid-19.

"Saya harap lebih ramai generasi muda belajar menenun songket. Walaupun agak sukar pada mulanya namun ilmu dan kemahiran ini sangat penting. Ia juga perlu dikekalkan," katanya yang menggunakan 'kek' tenun untuk menenun benang menjadi kain.

Bercerita lanjut, Faridatul Azna berkata, ada enam corak songket seperti bunga penuh, bunga bertabur, corak jalur (corak berdiri, melintang dan tepi kain), corak siku keluang, tapak catur dan pucuk rebung.

"Saya banyak menerima tempahan songket bunga penuh dan bunga tabur. Sehelai sampin bersaiz dua hingga dua meter setengah mengambil masa tiga minggu untuk disiapkan, manakala kain pasang empat meter setengah siap dalam masa sebulan setengah.

"Memang prosesnya lama kerana ia adalah kerja tangan sepenuhnya bermula dengan menerai benang, menganing benang, menggulung, menyapuk benang, mengarat, menyongket dan menenun.

"Pelanggan juga boleh memilih corak dan warna pilihan mereka sebelum saya membeli benang dari Terengganu. Saya boleh mengolah semula corak atau buat penambahan pada tempahan," katanya yang sudah menghasilkan lebih 300 tenunan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 Mac 2022 @ 12:41 PM
FARIDATUL Azna menenun songket tempahan pelanggannya di Kampung Masjid Lama, Bota Kanan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
FARIDATUL Azna menenun songket tempahan pelanggannya di Kampung Masjid Lama, Bota Kanan. FOTO Noor Hidayah Tanzizi